Friday 24 October 2014


Jualan telefon pintar di 7 negara ASEAN bernilai AS$16.4 bilion - GfK

SINGAPURA: Sejumlah 120 juta unit telefon pintar di jual di tujuh pasaran utama ASEAN iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja dalam tempoh 12 bulan hingga Ogos lalu.


Kaji selidik firma penyelidikan GfK mendapati, pemilikan telefon pintar di ASEAN sedang dalam arah aliran meningkat dengan permintaan memuncak untuk telefon pintar dan phablet dalam tempoh itu yang ditunjukkan menerusi peningkatan jualan sebanyak 44 peratus dan 22 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.


Pengarah Akaun bagi Dunia Digital GfK Asia, Gerard Tan, berkata pasaran paling pantas berkembang dalam aspek jumlah jualan dalam tempoh 12 bulan lalu adalah Indonesia, Vietnam dan Thailand yang masing-masing berkembang sebanyak 70 peratus, 56 peratus dan 44 peratus.


Dari segi nilai jualan, yang paling pesat berkembang adalah Vietnam, Indonesia dan Thailand masing-masing sebanyak 52 peratus, 32 peratus dan 31 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.


"Pendorong utama kekukuhan prestasi pasaran terutama di negara sedang membangun adalah pengenalan model telefon pintar murah daripada pengeluar baharu China, menjadikan telefon pintar kini lebih mampu dimiliki.


"Telefon pintar murah diterima meluas di pasaran sedang membangun," katanya.


Indonesia adalah satu-satu pasaran di ASEAN yang mana telefon pintar jenama tempatan semakin popular, merangkumi 16 peratus daripada jumlah jualan dan tujuh peratus daripada nilai jualan di negara itu.


Dalam pada itu, jenama dari China semakin popular di Indonesia, Malaysia dan Vietnam yang mana jumlah perbelanjaan pengguna merangkumi 10 peratus daripada pasaran.


"Walaupun jenama antarabangsa mendominasi pasaran telefon pintar serantau, jenama China juga semakin kukuh. Jenama antarabangsa utama semakin kehilangan pasaran kepada jenama China kerana telefon pintar termasuk phablet dari negara itu dijual pada harga antara AS$50 (RM163) hingga AS$200 (RM654) seunit.


Lebih 345 jenama dari China kini dijual di ASEAN. Jenama dari China dijual pada harga kira-kira 58 peratus lebih murah daripada jenama antarabangsa yang dijual pada purata AS$253 (RM827) berbanding dari China, AS$159 (RM520) seunit.


GfK Group, yang ditubuhkan pada 1934 sebagai Gesellschaft für Konsumforschung adalah firma penyelidikan pasaran terbesar Jerman dan yang keempat terbesar dunia selepas Nielsen Company, Kantar Group dan Ipsos.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...