Saturday 17 November 2012

Causeway Bay paling mahal


Hong Kong: Causeway Bay, kawasan beli-belah yang paling sibuk di Hong Kong, mengatasi Fifth Avenue di New York untuk disenaraikan sebagai tempat harga sewaan runcit paling mahal di dunia, demikian mengikut satu kajian baru.

Ia buat kali pertama mengatasi Fifth Avenue dalam tempoh 11 tahun, sekali gus menunjukkan permintaan tinggi bagi barangan mewah oleh pembeli Cina, kata firma perkhidmatan hartanah, Cushman & Wakefield.

Tumpuan dalam tinjauan tahun ini adalah Hong Kong, walaupun kelembapan aktiviti ekonomi, peruncit terus melihat pasaran sebagai landasan yang ideal untuk memasuki tanah besar China, kata firma berkenaan dalam satu kenyataan.


Causeway Bay menyaksikan lonjakan dalam aktiviti pajakan dengan kenaikan 34.9 peratus dalam nilai sewaan kepada AS$2,630 (RM8,078) bagi satu kaki persegi berbanding AS$2,500 (RM7,678) di New York.

Champs-Elysees di Paris pula melonjak dua anak tangga ke tempat ketiga dengan nilai AS$1,129 (RM3,467).

Berlakunya perebutan biasa bagi tempat tertinggi di antara Hong Kong dan New York, kata Ketua Perkhidmatan Peruncitan Global Cushman, John Strachan.

Namun, sudah tentu mesej yang ingin disampaikan adalah kemajuan kukuh dalam bandar utama global didorong kekurangan bekalan dan minat terhadap jenama antarabangsa, katanya.
Laporan Main Streets yang disiarkan Cushman mendapati peruncitan mewah memacu pertumbuhan kadar sewa dengan persaingan sengit untuk lokasi yang paling diingini.

Rantau Asia Pasifik mempunyai lima daripada 10 lokasi paling mahal di dunia, berikutan kenaikan golongan kelas pertengahan.

Sewa utama di Hong Kong termasuklah kawasan Central di mana peruncit barangan mewah menguasai aras bawah menara yang dipenuhi golongan kewangan elit dunia, naik 21.8 peratus sehingga Jun lalu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Transaksi Runcit Cushman di Hong Kong, Michele Woo, berkata cukai baru ke atas pembeli rumah warga asing dan ketidaktentuan mengenai pertukaran kepimpinan China boleh memperlahankan permintaan dalam beberapa bulan ke hadapan.

Hong Kong kekal sebagai landasan rasmi yang ideal untuk ke China bagi peruncit antarabangsa walaupun mungkin tidak akan melihat paras tertinggi bagi pertumbuhan kadar sewa ini berkekalan.

Secara keseluruhannya, aktiviti peruncitan di Asia Pasifik akan kekal baik berikutan peruncit antarabangsa bergelut dengan pasaran domestik mereka. katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...