Saturday 10 December 2011

Krisis zon euro tak jejas Malaysia



MALAYSIA memiliki institusi perbankan yang kukuh untuk berdepan kesan krisis hutang Eropah susulan pendedahan terhadap bank di rantau itu dianggarkan kurang daripada lima peratus berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia jauh lebih rendah berbanding laporan sebuah syarikat pembrokeran asing baru-baru ini bahawa pendedahan hutang antara bank Eropah dan Malaysia adalah kira-kira 19 peratus daripada KDNK.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata krisis hutang zon euro membentuk situasi tidak menentu yang sangat ketara dan menyebabkan ekonomi global bergoncang.
Perkara yang perlu ditekankan adalah institusi kewangan kita lebih kukuh, bank pusat sudah membina penampan dan rizab negara sangat tinggi, sekali gus membolehkan kita akan dapat menangani keadaan yang tidak menentu ini dengan lebih baik.

Bank asing di Malaysia mempunyai pendedahan yang kurang berbanding di negara lain yang mana banknya tidak diperbadankan di dalam negara.

Kami akan mengumumkan angka rasmi (pendedahan kepada bank Eropah), ia adalaah kurang daripada lima peratus, angkanya sangat rendah, justeru kita tidak bimbang terhadap perkara itu, katanya selepas melancarkan perkhidmatan MobileLINK di Kuala Lumpur, semalam.

Kenyataan itu sekali gus menafikan laporan Nomura International Ltd pada Rabu lalu bahawa Malaysia antara negara Asia paling terdedah kepada tuntutan bank Eropah, sekali gus mengancam sistem kewangan negara jika ekonomi zon euro runtuh.
Syarikat pembrokeran berpangkalan di Jepun itu berkata, pendedahan bank Eropah ke Malaysia yang tidak termasuk HSBC Bank dan Standard Chartered Bank berjumlah AS$50 bilion (RM155 bilion), atau 19 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengenai risiko yang dihadapi oleh Malaysia susulan krisis zon euro, Zeti berkata, kesan adalah pelbagai, namun begitu ekonomi negara kini lebih bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Katanya, Malaysia memiliki ekonomi domestik mantap serta berdaya tahan untuk menyerap tekanan luar yang dicetus oleh kemelut kewangan negara di rantau itu.

Sudah pasti kita akan menerima kesannya. Malaysia mungkin merasa kesannya menerusi saluran perdagangan atau pasaran kewangan, namun kita berada pada kedudukan lebih baik. Ekonomi negara kini lebih pelbagai dan kita juga mempunyai kedudukan domestik yang kukuh.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Affin Investment Bank Bhd, Alan Tan, berkata risiko yang dihadapi Malaysia apabila kelembapan ekonomi zon euro memberi kesan terus kepada pertumbuhan Amerika Syarikat dan China, seterusnya ke tempat lain termasuk negara ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...