Saturday 17 December 2011

112 negara sudah iktiraf Palestin

PARIS 16 Dis. - Sekurang-kurangnya 112 negara di seluruh dunia secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, menurut kiraan AFP.
Di Amerika Latin, Uruguay dan Peru muncul negara ke-11 dan ke-12 di rantau itu mengiktiraf Palestin pada tahun ini, meninggalkan Colombia yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) sebagai satu-satunya negara yang masih belum berbuat demikian.
Di Amerika Tengah, Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara oleh Cuba, Costa Rica, Nicaragua, Honduras dan Salvador.
Palestin turut menerima pengiktirafan negara-negara Arab termasuk Syria pada Julai lalu.
Di Eropah, Iceland menjadi negara terbaru dari Eropah mengikuti langkah itu selepas Republik Czech, Hungary, Malta dan Poland.
Kira-kira 150 buah negara turut mengekalkan hubungan diplomatik dengan Palestin dalam satu atau pelbagai urusan.
Palestin sebelum ini hanya berstatus 'pemerhati' di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi Presiden Mahmoud Abbas pada September lalu telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menjadi anggota penuh badan dunia tersebut.
Oktober lalu, Palestin secara rasmi diterima sebagai anggota Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya Antarabangsa (UNESCO) dalam satu kemenangan diplomatik, walaupun mendapat tentangan daripada AS dan Israel.
Awal minggu ini, Abbas menggesa Kesatuan Eropah (EU) menyokong usaha negara itu untuk diiktiraf PBB selepas bendera Palestin dikibarkan di ibu pejabat UNESCO buat pertama kali.
Data yang diterbitkan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menunjukkan, sebanyak 130 negara sehingga kini telah mengiktiraf Palestin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...