Tuesday 17 January 2012

Cari gali semula minyak terbesar



PUTRAJAYA: Petronas dan Shell Malaysia semalam menandatangani kontrak projek cari gali semula minyak menggunakan teknologi dipertingkatkan (EOR) di Delta Baram dan Utara Sabah, bernilai AS$12 bilion (RM37.2 bilion) bagi tempoh 30 tahun akan datang, iaitu projek EOR terbesar di dunia.

Projek di luar pesisir pantai Sarawak dan Sabah itu dilaksanakan secara usaha sama antara anak syarikat Petronas dan Shell Malaysia (Shell), termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali), Sarawak Shell Berhad (SSB), Sabah Shell Petroleum Co Ltd (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn Bhd (SSS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir pada majlis menandatangani projek itu, berkata ia akan memberi manfaat kepada negara dari segi membangunkan keupayaan teknologi tempatan, meningkatkan purata keupayaan cari gali minyak di Delta Baram dan Utara Sabah daripada 36 peratus kepada 50 peratus dan melanjutkan jangka hayat sumber sehingga melepasi 2040.
“Penambahbaikan teknologi cari gali minyak ini dijangka memberi kesan positif kepada rizab minyak Malaysia dan memanfaatkan negara secara keseluruhan. Saya dimaklumkan teknologi yang diguna pakai di Utara Sabah berpotensi menjadi projek EOR Alkaline Surfactant Polymer (ASP) luar pesisir pantai yang pertama di dunia menggunakan konsep penggerudian telaga melintang.

“Sehubungan itu, saya harap pengalaman Petronas dan kemahiran teknologi EOR Shell serta komitmen kedua-dua pihak akan membawa faedah besar kepada pembangunan perindustrian negara,” katanya.

Perdana Menteri menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif Royal Dutch Shell Plc, Peter Voser; dan Presiden Petronas Carigali, Datuk Abdullah Karim menurunkan tandatangan mewakili syarikat masing-masing bagi memeterai kontrak berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif Penerokaan dan Pengeluaran Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin; Pengarah Urusan dan Pengerusi Shell Malaysia, Anuar Taib dan Naib Presiden Pengeluaran Malaysia, Petronas Carigali, Mohamad Johari Dasri menurunkan tandatangan selaku saksi bagi syarikat masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan mengiktiraf projek EOR yang memberi nafas baru kepada telaga minyak sedia ada itu sebagai satu daripada 19 Projek Permulaan (EPP) bagi memberi bekalan tambahan kepada keperluan tenaga dan perindustrian, selain menjana pertumbuhan organik dalam sektor minyak dan gas.

Perdana Menteri menjelaskan, sektor minyak, gas dan tenaga menjadi tonggak pertumbuhan negara yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) nasional.

Bagaimanapun, katanya, dengan kemungkinan terpaksa mengurangkan pengeluaran daripada rizab aset yang matang itu, kerajaan terpaksa meneroka peluang lebih luas merangkumi pelbagai sektor bagi mencapai sasaran pertumbuhan tahunan, selain menyediakan sumber tenaga mapan.

Dalam kenyataan akhbar Shell Malaysia, perjanjian membabitkan PSC bagi menambahbaik dua sumber minyak sedia ada di pusat operasi Delta Baram dan Utara Sabah yang kini menggunakan teknik cari gali dan perlombongan konsep lama sejak berdekad lalu.

Mengikut kontrak baru pula, Shell dan Petronas Carigali akan membangunkan enam lagi sumber minyak di Delta Baram dan tiga sumber minyak di Utara Sabah menggunakan kaedah EOR dan teknologi berkaitan yang sesuai.

Sementara itu, Shamsul, berkata masa depan pasaran minyak mentah dan gas global sudah tidak menentu dan ketandusan sumber baru memaksa persaingan bagi mengurangkan kos operasi serta meningkatkan penemuan hidrokarbon, selain menambah pengeluaran daripada sumber minyak sedia ada.

“Delta Baram dan Utara Sabah terletak dalam kelompok sumber minyak terbesar di Malaysia, masing-masing dengan simpanan minyak mentah 4.6 juta tong dan 1.6 juta tong,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...