MEMBAKUT (Sabah): Pusat Latihan Petroleum Kimanis di sini membuka peluang kepada penduduk Sabah, terutama mereka yang tinggal di kawasan pantai barat negeri, membabitkan diri dalam kerjaya industri minyak dan gas.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pusat latihan yang dikendalikan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan boleh menampung 50 pelatih itu juga meyakinkan masyarakat tempatan bahawa pembabitan mereka penting dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, terutama apabila Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dekat sini, beroperasi sepenuhnya pada 2013.
Teks ucapan Anifah dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Norhaidi Che Dan.
Anifah, yang juga anggota Parlimen kawasan Kimanis, berkata rakyat Sabah perlu menyedari bahawa peluang yang ditawarkan oleh Petronas itu adalah peluang untuk membangunkan negeri kelahiran mereka sendiri, sekali gus meningkatkan tahap sosio ekonomi masing-masing.
Menurutnya, lebih 4,000 pekerja dalam pelbagai bahagian diperlukan di SOGT kelak, yang juga bakal memberi kesan positif terhadap ekonomi masyarakat sekitar.
Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Petroleum Petronas, Ramlan A. Malek, berkata PETRONAS mengambil kesempatan memberi latihan kepada belia Sabah dalam bidang minyak dan gas terlebih dulu sambil menunggu kampus kekal di Kimanis siap pada 2013.
"Pusat latihan ini adalah satu langkah oleh Petronas dalam usaha membangunkan potensi dan mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan rakyat Sabah yang bakal menyertai dan menyumbang ke arah pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini," katanya.
Seramai 25 belia, 24 daripadanya dari Kimanis dan seorang dari Sipitang, menjadi kumpulan pertama mengikuti Program Instrumentasi dan Kawalan Industri selama dua tahun di pusat latihan itu sejak Julai lalu
No comments:
Post a Comment