PETRONAS Chemical Group Bhd (PCG), pengeluar terbesar produk petrokimia di negara ini, bakal muncul sebagai pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara apabila Projek Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) bernilai RM4.77 bilion, beroperasi pada 2015.
"Peningkatan disebabkan permintaan untuk keperluan pertanian yang semakin tinggi berikutan pertumbuhan pesat penduduk, perubahan corak pemakanan dan persaingan penggunaan tanah untuk tanaman komersial yang semakin besar.
"Ia menyediakan peluang baik kepada PCG mengembangkan perniagaan baja urea di pasaran penting seperti Asia Pasifik, khususnya di Asia Tenggara. Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya menerusi projek SAMUR.
"Apabila projek itu siap, PCG berpotensi menjadi pengeluar kedua terbesar baja urea di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan PCG sebagai pelaksana utama perniagaan baja urea di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas memeterai perjanjian Kerjasama Kejuruteraan Terperinci dan Asas, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (BEPCC) antara PCG dengan konsortium kontraktor projek SAMUR di Kota Kinabalu.
Konsortium kontraktor projek itu dianggotai Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun, Apex Energy Sdn Bhd dan Pt Rekayasa Industri dari Indonesia.
Ia disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Ketua Eksekutif PCG, Dr Abdul Hapiz Abdullah dan Naib Presiden Kanan Mitsubishi Heavy Industries Ltd, Naohito Hoshino.
Pada majlis itu, PCG turut menyerahkan surat pelantikan kepada Sabah Energy Corporation sebagai syarikat sekutu konsortium kontraktor SAMUR yang mewakili kerajaan Sabah bagi mengagihkan projek termasuk pembinaan jalan raya, jeti, landskap, keselamatan kepada syarikat tempatan.
Sementara itu, Musa berkata, projek SAMUR akan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor petrokimia di Sabah yang turut membantu pembukaan industri lain termasuk industri sokongan dan hiliran berkaitan minyak dan gas, selain berkaitan perkhidmatan.
“Projek ini juga dapat menyediakan peluang lebih luas kepada generasi di Sabah menceburi bidang teknikal profesional sekali gus membantu membina kemampuan dan kekuatan ekonomi negeri ini,” katanya.
PETRONAS katanya, turut melatih juruteknik tempatan di beberapa kilang petrokimia seluruh negara untuk mengendalikan kilang PETRONAS Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd apabila projek SAMUR siap.
No comments:
Post a Comment