Thursday 16 August 2012

Amancio Ortega ketiga terkaya



United Kingdom 8 Ogos - Pemilik rangkaian pakaian jenama Zara, Amancio Ortega memintas kedudukan Warren Buffet sebagai orang ketiga terkaya di dunia dengan nilai kekayaan £30 bilion (RM145 bilion).

Dengan kekayaan itu, taikun fesyen itu telah menyebabkan Pengerusi Berkshire Hathaway, Warren Buffet jatuh ke tangga empat yang memiliki kira-kira £29.1 bilion (RM141 bilion).

Bagaimanapun, kedua-duanya gagal menyaingi kekayaan taikun telekomunikasi Mexico, Carlos Slim yang dinobat sebagai lelaki terkaya di dunia dengan nilai kekayaan £47.3 bilion (RM229 bilion).

Indeks Bilionair Bloomberg hari ini menyenaraikan pengasas Microsoft, Bill Gates masih berada di tangga kedua dengan kekayaan £40 billion (RM194 bilion).

Namun sekiranya kekayaan Ortega terus berkembang, beliau tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menaiki tangga kedua teratas.

Pada tahun ini sahaja, kekayaan beliau melonjak sebanyak 32 peratus walaupun negaranya, Sepanyol sedang berada dalam kemelesetan yang teruk.

Ini merupakan asas kepada kejayaan luar biasa syarikatnya dengan keuntungan berkembang bagi 12 suku berturut-turut selepas ia berpindah ke pasaran membangun dan mengurangkan penggantungan terhadap Sepanyol yang mempunyai kadar pengangguran melebihi 20 peratus.

Anak kepada pekerja syarikat kereta api itu dilahirkan di Busdongo de Arbas, Leon, Sepanyol menghabiskan kebanyakan masa kanak-kanaknya di kawasan kejiranan itu.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai budak suruhan di pelbagai kedai pakaian di sekitar La Coruna, Galicia dan pada 1972, beliau menubuhkan syarikat Confecciones Goa yang membuat jubah mandi.

Pada 1975, beliau membuka kedai pertama yang berkembang sebagai rangkaian fesyen popular yang dikenali sebagai Zara.

Ketika ini Ortega memiliki hampir 60 peratus daripada kumpulan multinasional Inditex yang merangkumi jenama Zara, Massimo Dutti, Oysho, Zara Home, Kiddy's Class, Tempe, Stradivarius, Pull and Bear/Often and Bershka.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...