Saturday 30 June 2012

Diberhenti kerja dapat RM3,600



KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Kebajikan Pekerja dengan peruntukan awal RM80 juta untuk membiayai sara hidup pekerja yang diberhentikan.
Apabila dilaksanakan, pekerja yang diberhentikan akan diberi elaunbulanan RM600 selama enam bulan untuk sara hidup sementara mencari pekerjaan baru.


Bagaimanapun, pekerja yang diberhentikan kerja kerana masalah disiplin atau berhenti melalui skim pemberhentian sukarela (VSS), tidak layak memohon elaun berkenaan. Menurut sumber, tabung itu adalah bantuan kebajikan sementara bagi membantu pekerja yang diberhentikan sehingga kerajaan melaksanakan Skim Insurans Pengangguran yang kini di peringkat kajian.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Berkaitan Tabung Bantuan Kehilangan Pekerjaan oleh Kementerian Sumber Manusia bersama kepemimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), di Putrajaya semalam.

“Tabung itu adalah bantuan kebajikan sementara sehingga Skim Insurans Pengangguran dapat dilaksanakan. Mengikut statistik Kementerian Sumber Manusia yang dibentangkan pada mesyuarat itu, seramai 8,400 pekerja diberhentikan kerja setakat ini,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Selasa lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya sedang mengkaji mewujudkan satu mekanisme bagi membela nasib pekerja diberhentikan, termasuk bantuan kewangan sementara dalam tempoh pengangguran seperti amalan negara maju.

Subramaniam berkata, antara aspek dikaji adalah dari segi perundangan yang menjurus kepada melindungi pekerja dan bukan mempertahankan pekerjaan mereka.

Sumber itu berkata, pemberian elaun bulanan akan dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan MTUC secara dasarnya bersetuju dengan kewujudan tabung berkenaan.

MTUC juga dikatakan akan membincangkan secara terperinci mekanisme pelaksanaan serta syarat tambahan lain sebelum kembali bermesyuarat dengan kementerian.

Selain itu, kementerian difahamkan akan menghantar satu memorandum mengenai tabung itu kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan susulan dibuat, antaranya tarikh pelaksanaan.








Friday 22 June 2012

Rizab gas ditemui di Afrika Timur


PENEMUAN besar rizab gas di luar pantai Afrika Timur menjadikan wilayah itu sebagai peserta utama arena tenaga global.

Ia bakal membawa masuk berbilion dolar pelaburan yang akan mengubah keseluruhan ekonominya.
Di luar pantai Lautan Hindi Afrika, syarikat multinasional berjaya menemui gas selepas melakukan penerokaan telaga petroleum di wilayah berkenaan.
Rancangan pelaburan bernilai puluhan bilion itu mengatasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesetengah negara pemilik sumber berkenaan, iaitu bermula dengan Kenya sebagai kuasa ekonomi rantau itu hingga ke Mozambique.

Wilayah pantai Afrika Barat yang mengunjur sehingga ke Seychelles memiliki 441.1 trilion kaki padu gas asli, mengikut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (AS).

Jumlah itu 50 peratus lebih tinggi daripada Arab Saudi.

“Penemuan gas di luar pantai Mozambique dan Tanzania berkelas dunia, dengan potensi lebih banyak lagi untuk ditemui termasuk prospek penemuan minyak.
“Penemuan itu pencetus penubuhan loji gas asli cecair (LNG) serta menjadikan zon itu sama seperti Northwest Shelf di Australia yang menghasilkan 23 bilion meter padu gas setahun,” kata Ketua Eksekutif firma perunding minyak Global Pacific, Duncan Clarke.

Anandarko, syarikat berpangkalan di Houston bulan ini mengumumkan penemuan baru di utara Mozambique yang menjadikan anggaran sumber boleh ditemui semulanya kepada sehingga 60 trilion kaki padu.

Syarikat itu mencadangkan pelaburan AS$15 bilion (RM47 bilion) membina kemudahan LNG. KDNK Mozambique tahun lalu AS$12 bilion (RM39 bilion).

Firma Thailand, PTT Exploration and Production bulan lalu mengumumkan urus niaga membeli Cove Energy, yang mana 8.5 peratus kepentingannya dalam lapangan gas Mozambique kini terbuka untuk dijual.

Saturday 16 June 2012

Ketua pegawai teknikal tinggalkan Facebook


SAN FRANCISCO: Ketua pegawai teknikal Facebook, Bret Taylor hari ini mengumumkan meninggalkan syarikat rangkaian laman sosial utama dunia itu untuk memulakan perniagaan baru dengan rakannya.

Taylor mendedahkan perkara itu dalam akaun Facebooknya selepas sebulan syarikat Facebook menawarkan saham awamnnya (IPO) yang menjadikan ribuan kakitangan syarikat berpangkalan di California itu menjadi jutawan.
“Saya amat seronok bekerja bersama Bret dan dapat berkongsi pengalaman sebagai kawan dan bekerja dalam satu pasukan," kata pengasas Facebook dan Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg dalam emailnya.
“Saya amat berbangga dengan apa yang dilakukan Bret dan pasukannya untuk kemajuan Facebook," katanya

Monday 11 June 2012

Malaysia, Indonesia dominasi minyak sawit dunia



MUMBAI 8 Jun - Malaysia dan Indonesia dijangka terus mendominasi bekalan minyak sawit dunia bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi walaupun banyak negara telah meneroka penanaman kelapa sawit.

Pengarah Bersekutu Penyelidikan dan Penasihat Makanan dan Perniagaan Tani Rabobank berkata, kedua-dua negara itu menyumbang 87 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan 90 peratus eksport sekarang.

"Ketika ini, India memperuntukkan kira-kira 800,000 hektar bagi penanaman sawit. Tetapi, berapa lama lagi hasilnya akan dapat dirasai oleh penduduknya?," katanya di Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-India 2012.

Sawit mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk mula menghasilkan buah.

Perladangan kelapa sawit di Brazil dan Afrika juga menghadapi cabaran mereka sendiri, katanya.

Di Afrika, kebanyakan kawasan penduduk padat terletak berhampiran bandar, pembangunan perladangan kelapa sawit akan memerlukan, di setengah wilayah, perpindahan dari kawasan bandar ke kawasan luar bandar," katanya.

Cabaran lain di Afrika ialah melatih buruh, membangunkan beraneka jenis biji benih dan menguruskan penanaman.

"Brazil mempunyai iklim yang sesuai tetapi kos buruh tinggi dan tekanan kelestarian akan terus kekal sebagai cabaran terbesar," katanya.

Minyak sawit menjadi minyak sayuran terbesar dihasilkan di dunia sejak 2006, mengatasi minyak kacang soya.

Pengeluaran minyak sawit menyumbang 50.23 juta tan metrik, atau 28 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak dan lemak sebannyak 179 juta tan metrik pada 2011.

Dari segi perdagangan eksport global kira-kira 68.85 juta tan metrik minyak boleh dimakan, minyak sawit menyumbang 38.88 juta tan metrik, atau 56.64 peratus daripada jumlah eksport minyak dan lemak pada 2011.

Malaysia sendiri menghasilkan 18.91 juta tan metrik, atau 37.65 peratus, daripada jumlah pengeluaran minyak sawit pada 2011 dan mengeksport 17.99 juta tan metrik, atau 46.27 peratus daripada eksport minyak sawit dunia.

Ini bersamaan dengan kira-kira 26.6 peratus daripada perdagangan minyak dan lemak global.

Friday 8 June 2012

Serpihan limbungan hanyut dari Jepun ke pantai Amerika Syarikat



PORTLAND, Oregon - Sebuah serpihan limbungan yang hanyut dari timur laut Jepun semasa kejadian tsunami berlaku pada 11 Mac tahun lalu telah ditemui di pantai Agate, Oregon, Amerika Syarikat (AS).


Serpihan sepanjang 20 meter panjang yang diperbuat daripada logam dan konkrit itu ditemui terapung di luar pantai tersebut pada Isnin lalu.


Beberapa orang yang melihat serpihan itu menyatakan ia adalah sebuah tongkang.


Ia kemudian dihanyutkan ke pantai Agate, 160 kilometer ke barat daya Portland.


Kakitangan Jabatan Rekreasi dan Taman Oregon kemudian menghubungi seorang diplomat Jepun berhubung penemuan tersebut.


Seorang diplomat Jepun mengesahkan bahawa ia merupakan serpihan limbungan yang hanyut semasa tsunami berlaku.


Ia hanyut sejauh 8,850 kilometer merentasi Lautan Pasifik.


Menurut Timbalan Konsul di Pejabat Konsulat Jepun di sini, Hirofumi Murabayashi, pengesahan itu dibuat berdasarkan tulisan bahasa Jepun yang terdapat pada serpihan tersebut.


Ia dipercayai serpihan terapung dari Jepun yang paling besar ditemui setakat ini di AS.

Logo baru simbol jenama Twitter


TWITTER semalam memperkenalkan ‘Twitterbird’ baru yang menjadi simbol jenama terkini bagi syarikat rangkaian sosial global yang semakin berkembang itu.
“Sejak enam tahun lalu dunia semakin mengenali simbol kecil burung biru. Burung itu berada di mana saja dan sentiasa dikaitkan dengan perkhidmatan Twitter.
“Bermula hari ini, anda akan mengenali logo burung Twitter yang lebih ringkas. Dan di saat ini, burung ini akan dikenali sebagai simbol Twitter,” kata Pengarah Kreatifnya, Doug Bowman di San Francisco semalam.

“Simbol baru ini meningkatkan kasih sayang terhadap hidupan burung, direka dalam kekangan yang kreatif dan geometri yang mudah,” kata Bowman.

“Burung ini direka daripada tiga kitaran yang berkaitan - sama seperti bagaimana rangkaian, minat dan idea anda berhubungan dan berkait rapat dengan rakan sebaya dan rakan yang lain.

“Sama ada ia terbang tinggi untuk mendapatkan pandangan lebih luas atau bersama burung lain untuk mencapai tujuan sama, burung adalah simbol kepada kebebasan dan harapan yang tiada batasan,” tambahnya.
Twitter yang membolehkan ahlinya untuk menghantar komen, pautan atau gambar, mendakwa ia mempunyai lebih 140 juta pengguna aktif dengan bilangan terbesar di Amerika Syarikat.

Satu tinjauan baru-baru ini mendapati satu daripada tujuh pengguna AS yang menggunakan perkhidmatan dalam
talian menggunakan Twitter dan lapan peratus melakukannya setiap har

Monday 4 June 2012

WiMAX P1 labur RM40j luas pasaran ke Sabah


GREEN Packet Berhad, penyedia jalur lebar 4G pertama berasaskan teknologi WiMAX P1, melabur sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta tahun ini bagi meluaskan perkhidmatannya ke Sabah yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Puan Chan Cheong berkata, peruntukan pelaburan itu diambil menerusi perbelanjaan modal (Capex) berjumlah RM205 juta bagi tempoh 12 bulan operasinya.

“Kami kini dalam usaha meluaskan pasaran P1 dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai lokasi operasi kami pertama di Malaysia Timur. “Kami akan mula beroperasi selepas Julai nanti dan penembusan kami di Sabah adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan bilangan pelanggan kepada 500,000 pengguna berbanding 400,000 orang ketika ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Petaling Jaya.
Kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sebanyak RM3.9 juta pada suku pertama tahun ini dengan peningkatan 153 peratus bagi tempoh tahun ke tahun, disumbangkan perniagaan tunjang utama kumpulan itu, P1 iaitu sebanyak 85 peratus kepada keseluruhan Ebitda kumpulan, kira-kira RM3.3 juta.

“Pendapatan kumpulan sehingga 31 Mac lalu ialah sebanyak RM128 juta dengan peningkatan lima peratus dari tahun ke tahun. Green Paket Solution pula menyumbang kira-kira RM22 juta manakala P1 mencatat sumbangan yang tinggi kira-kira RM85 juta.

“Kami menyasarkan untuk meletakkan P1 sebagai perkhidmatan penyelesaian nilai tambah di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini susulan daripada permintaan tinggi daripada segmen ini yang membawa kepada peningkatan teknologi jalur lebar,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...