Monday 30 April 2012

Ahli perniagaan Australia mahu bina Titanic kedua



SYDNEY: Salah seorang orang terkaya Australia, Clive Palmer hari ini mendedahkan rancangannnya untuk membina Titanic versi abad ke-21 di China dengan pelayaran sulung dari England ke New York dijadual pada 2016. 

Palmer, seorang ahli perniagaan perlombongan berkata, beliau sudah menyerahkan kontrak pembinaan kapal persiaran itu kepada sebuah syarikat China, CSC Jinling Shipyard bagi membina Titanic II yang mirip kapal pertama yang karam.
“Kemewahan yang dimiliki kapal ini sama dengan kapal asal Titanic tetapi ia tentunya satu mercu tanda pembinaan dan kehebatan teknologi pelayaran serta sistem keselamatan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan.
“Titanic II akan belayar di hemisfera utara dengan pelayaran sulungnya dari England ke Amerika Utara dijadual penghujung 2016. 

“Kami sudah menjemput Tentera Laut China untuk mengiringi Titanic II dalam pelayaran sulungnya nanti ke New York.” 

Pengumuman Palmer muncul beberapa minggu sempena sambutan ke-100 tahun tenggelamnya Titanic pada 15 April 1912 selepas melanggar bongkah ais ketika pelayaran pertamanya dari Southampton ke New York. 

Palmer berkata, kapal baru itu sebagai menterjemahkan kekentalan semangat pekerja yang membina kapal pelayaran gergasi asal berkenaan. 
“Pekerja berkenaan menghasilkan kapal yang terus kekal biarpun sudah 100 tahun berlalu dan semangat ini perlu dikekalkan untuk 100 tahun lagi," katanya. 

Titanic dibina oleh White Star Line dan ia adalah syarikat perkapalan terbesar di dunia ketika itu. 

Palmer berkata, beliau juga sudah mewujudkan syarikat perkapalannya sendiri iaitu Blue Star Line dan pembinaan Titanic II adalah sama dengan kapal asal iaitu mempunyai 840 bilik serta setinggi sembilan tingkat.

Monday 23 April 2012

500,000 hartawan Britain mahu hijrah


LONDON: Lebih setengah juta hartawan Britain dijangka berpindah ke negara lain dalam tempoh dua tahun akan datang akibat masalah jalan raya dan kereta api, selain peningkatan kadar jenayah serta cukai.
Kaji selidik disiarkan semalam menunjukkan, kira-kira 19 peratus warga Britain yang memiliki simpanan dan pelaburan bernilai lebih �250,000 (RM1.2 juta) mempertimbangkan cadangan memulakan hidup baru di luar negara.

Kadar itu menunjukkan peningkatan berbanding 17 peratus enam bulan lalu, atau 14 peratus tahun lalu.
Angka itu menunjukkan, sekurang-kurangnya 500,000 penduduk Britain yang memiliki harta sebanyak itu mungkin meninggalkan negara berkenaan dalam dua tahun akan datang.

Pelaburan untuk meningkatkan infrastruktur seperti jalan, kereta api dan rangkaian komunikasi dilihat faktor penting untuk menjadikan Britain tempat menarik untuk didiami.

Kira-kira 61 peratus penduduk berharta Britain tertarik kepada pilihan itu.
Namun, mengatasi kerenah birokrasi untuk perniagaan, menurunkan cukai dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan dan polis menjadi keutamaan warga Britain. Pengarah Lloyds TSB International Wealth, Nicholas Boys-Smith, berkata walaupun penghijrahan beramai-ramai mungkin tidak berlaku, keputusan kaji selidik itu jelas menunjukkan golongan minoriti yang melihat hidup di luar negara lebih baik kini meningkat. Aspek jenayah dan antisosial menjadi alasan paling utama mendorong warga Britain meninggalkan negara berkenaan apabila 56 peratus responden memberikan alasan itu.

Lelaki subur pupus 2062



MUMBAI: Dunia berdepan masalah ketiadaan lelaki subur dalam tempoh 50 tahun lagi berikutan bilangan sperma mikroskopik yang semakin berkurangan kerana peningkatan tahap tekanan, obesiti dan pencemaran udara.

Akhbar Times of India melaporkan, lebih membimbangkan apabila anggaran menunjukkan kekurangan itu mencecah 50 peratus sejak 50 tahun lalu.
Pegawai yang bertanggungjawab mengusahakan garis panduan India untuk membantu teknik reproduktif, Dr P M Bhargava, berkata aliran pengurangan sperma dikesan sejak pertengahan tahun 1990-an di Barat.
“Beberapa doktor di India percaya keadaan itu juga berlaku di negara ini. Kajian di Barat menunjukkan bilangan itu menurun dua peratus setiap tahun. 
“Pada kadar ini, tiada lagi lelaki subur antara 40 hingga 50 tahun lagi,” kata Bhargava yang dianggap antara saintis terkemuka India.

Beberapa tahun lalu, kajian di Scotland terhadap 7,500 lelaki yang mengunjungi Pusat Kesuburan Aberdeen antara 1989 hingga 2002 menunjukkan purata sperma berkurangan hampir 30 peratus. 

Kajian lain dari Copenhagen pula mendapati mendapati punca utama masalah itu ialah penyalahgunaan alkohol, merokok dan obesiti.
“Banyak bahan yang digunakan setiap hari seperti plastik atau botol susu membebaskan kimia yang sama dengan estrogen, hormon wanita,” kata Bhargava.
Kata saintis, pendedahan kepada kimia seperti hormon wanita boleh mengurangkan sperma pada lelaki. 

Penggunaan racun serangga seperti DDT dan dioksin juga antara punca masalah itu.

Namun, sebahagian saintis tidak bersetuju. Pakar kesuburan, Dr Aniruddha Malpani, berkata gangguan yang disebutkan cuma satu daripada teori tidak dibuktikan untuk menjelaskan mengenai pengurangan sperma.

“Ia teori paling terkenal tetapi belum terbukti lagi. Kadar ketidaksuburan ialah masalah lelaki dan wanita disebabkan mereka lewat berkahwin serta bertangguh untuk melahirkan anak,” katanya.

Seorang lagi pakar, Dr Anjali Malpani, memberikan statistik bagaimana sperma menurun sejak berdekad lalu.

“Ketika menubuhkan bank sperma pertama di Mumbai dua dekad lalu, kami mudah mendapat 40 hingga 60 juta sperma setiap satu mililiter,” katanya.

Namun pada akhir tahun 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyemak semula definisi bilangan sperma normal kepada 20 juta setiap mililiter. 

Jadi, bank sperma cuma menolak penderma yang bilangan sperma tidak sampai 15 juta setiap mililiter.

“Pada 1950-an, WHO sendiri mengikat bilangan normal pada 113 juta setiap mililiter,” katanya.

“Dua dekad lalu, apabila kami menubuhkan bank sperma pertama, kami ditanya bagaimana mahu menggunakan perkataan itu secara terbuka. 

“Sukar mendapatkan sumbangan kerana lelaki tidak mahu seseorang yang kelihatan seperti mereka berjalan-jalan di bandar 20 tahun akan datang,” kata Malpani.

Sunday 22 April 2012

Ideologi 'Kopimism' kian menular



STOCKHOLM: Sebuah ajaran yang kemudian diterima sebagai agama di Sweden iaitu 'Kopimism' berdasarkan kepercayaan bahawa semua orang bebas untuk menyalin dan mengedarkan semua maklumat tanpa mengambil kira hak cipta atau paten, semakin menular apabila mula diterima di Amerika Syarikat.
Pengikut ‘Kopimism’ percaya tindakan menyalin, berkongsi dan memperbaiki pengetahuan termasuk muzik dan maklumat lain adalah naluri semula jadi.
Mereka sudah menubuhkan Gereja Kopimist dan percaya semua hal mengenai maklumat khususnya internet adalah sesuatu yang suci. Malah, gereja itu dilaporkan bergerak di 18 negara.

Mereka juga berkata, perbuatan ‘salin’ dan ‘lekat’ atau ‘copy paste’ adalah satu amalan universal. Berikutan itu, ‘CTRL+C’ dan ‘CTRL+V’ di papan kekunci menjadi simbol agama mereka.
“Budaya tertentu menyebabkan orang ramai rasa lebih selesa dan lebih menghargai kehidupan mereka. Ilmu pengetahuan juga perlu disalin tanpa dihalang undang-undang,” kata pengasas Kopimism, Isak Gerson, 20 (kanan).
“Kita akan menjadi manusia yang lebih baik apabila berkongsi pengetahuan dan budaya bersama,” katanya lagi. 
Di kalangan ahli Facebook, 3,500 orang sudah memberi tanda ‘like’ sebagai menyokong Kopimism. Dalam manifestonya, peraturan kod perisian sumber tertutup dan perisian antilanun disamakan dengan ‘perhambaan.’

Satu cawangan agama itu baru-baru ini didaftarkan di Illinois dan dalam proses diberi pengiktirafan, kata pelajar di Universiti Chicago, Christopher Carmean, 25, ketua cawangan berkenaan.

“Data mencorakkan kehidupan kita dan ia digunakan untuk menunjukkan reaksi kita. Perbuatan menyalin, mengubah suai dan berkongsi data meningkatkan kehidupan kita. Cubaan menyekatnya tidak beretika dengan kehidupan kita yang berasaskan data,” katanya.

Kira-kira 450 orang sudah mendaftarkan diri dengan gereja itu dan 30 dilaporkan aktif mengamalkan penggunaan ‘Ctrl+C’ dan ‘Ctrl+V’.

Kelahiran ‘Kopimism’ di Sweden tidak perlu dihairankan kerana negara itu mempunyai antara undang-undang hak cipta paling longgar di dunia.

Parti Lanun Sweden mempunyai dua kerusi di Parlimen Eropah manakala laman web ‘The Pirate Bay’ yang juga antara portal simpanan fail terbesar dunia masih beroperasi meskipun aktivitinya menyimpan fail diharamkan

Saturday 21 April 2012

Microsoft catat untung RM15.65b


MICROSOFT mencatatkan keuntungan bersih sukuan mencecah AS$5.11 bilion (RM15.65 bilion), didorong gelombang pelancaran produk secara besar-besaran yang menjanjikan prospek cerah bagi syarikat berkenaan.
“Kami sedang merangka pelancaran yang menarik di seluruh syarikat dan mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh.
“Dengan pelancaran baru seperti Windows 8 bagi komputer peribadi dan tablet, versi Office baru serta pelbagai produk serta perkhidmatan untuk enterpris dan pengguna, kami akan menjana nilai luar biasa kepada semua pelanggan kami pada tahun mendatang,” kata Ketua Eksekutifnya, Steve Ballmer.

Harga saham gergasi perisian itu melonjak lebih tiga peratus kepada AS$31.98 sesaham selepas pengumuman keputusan yang mengatasi unjuran Wall Street dan mencatatkan pendapatan tertinggi pada suku ketiga sebanyak AS$17.41 bilion.

Keuntungan Microsoft bagi tiga bulan berakhir 31 Mac adalah rendah sedikit berbanding AS$5.23 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Program jualan disesuaikan bagi perniagaan dan kepentingan dalam perisian yang dihoskan sebagai perkhidmatan dalam internet “awan” melonjakkan pendapatan walaupun kelemahan keseluruhannya dalam pasaran pengguna dan permintaan bagi konsol permainan video, Xbox 360.
Sumbangan daripada bahagian peranti dan hiburan berkurangan kerana aksesori kawalan suara serta Xbox dan Kinect yang susut 16 peratus kepada AS$1.6 bilion.

Microsoft menjangkakan pendapatan EDD akan berkembang pada suku semasa.

“Kami rasa kedudukan dan strategi pasaran kami sangat baik, "kata Ketua Pegawai Kewangan, Peter Klein pada sidang media bagi mengumumkan keputusan kewangan syarikat itu menerusi talian.

Xbox akan melangkaui permainan video untuk menjadi pilihan bagi mendapatkan kandungan filem dan hiburan lain daripada internet.

Eksekutif berkata bahawa mereka juga didorong oleh petunjuk bahawa laptop berkuasa tinggi dan nipis berdasarkan sistem operasi Windows yang terbaru mencetuskan permintaan pengguna.

“Kami terus melaksanakan yang terbaik bagi seluruh perniagaan kami, dan kami melihat permintaan kukuh bagi produk perusahaan dan perkhidmatan kami, "kata Ketua Pegawai Operasi Microsoft, Kevin Turner.

"Pelaburan dan penawaran kami dalam platform pangkalan data dan awam, swasta, dan hibrid awan membantu pelanggan kami mengubah operasi mereka untuk memenuhi permintaan perniagaan hari ini yang sentiasa berubah."

Thursday 19 April 2012

P1 suntik RM30 juta


PACKET One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) menyuntik RM30 juta bagi menembusi pasaran dan meluaskan rangkaian 4Gnya ke Sabah dan Sarawak yang dijangka bermula menjelang suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, P1 menyasarkan untuk memulakannya di Kota Kinabalu dan akan meliputi kira-kira 55 peratus kawasan kediaman di bandar berkenaan menjelang akhir tahun ini.

“P1 dijangka akan meluaskan rangkaian ke beberapa lokasi lain antaranya Kepayan, Lido, Fortuna, Karamunsing dan Menggatal secara berperingkat. Akses kepada jalur lebar dapat memberikan kemudahan kepada pelancong khususnya mereka yang melancong secara sendirian,” katanya.

Telefon mudah meletup


CYBERJAYA: Pengguna perlu berhati-hati ketika membeli telefon bimbit, komputer riba dan komputer tablet kerana kira-kira 30 peratus daripada peralatan yang dijual di pasaran negara ini tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa serta berbahaya digunakan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi selepas menerima aduan orang ramai banyak telefon bimbit seludup yang digelar sebagai ‘underwater atau submarine handset’ di kalangan peniaga, tidak menepati piawaian.
“Jika pengguna membeli produk telekomunikasi seperti telefon yang tidak memenuhi piawaian, anda mungkin terdedah kepada kejadian ia meletup ketika di dalam saku atau ketika digunakan.

“Kita menasihatkan pengguna membeli peralatan yang disahkan selamat dan mempunyai label SKMM bagi menjamin keselamatan diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM), di sini semalam.

Beliau berkata, SKMM juga bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi memantau kemasukan produk telekomunikasi yang tidak memenuhi piawaian daripada memasuki pasaran Malaysia menerusi pintu masuk dan pelabuhan utama di seluruh negara.

“Ramai peniaga produk telekomunikasi di Malaysia sudah mematuhi piawaian penjualan produk telekomunikasi, namun masih ada segelintir yang menyeludup masuk barangan itu,” katanya.
MoU itu membabitkan pemeteraian perkongsian pintar antara SKMM dengan SIRIM bagi memantau penjualan dan mengawal selia pemasaran produk telekomunikasi menerusi penggunaan aplikasi 'Online Centification for Communication & Multimedia' (e-ComM) yang dibangunkan oleh Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net).

“Kita berharap kerjasama ini bukan hanya dapat membantu SKMM meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menjual produk telekomunikasi tidak memenuhi piawaian, malah melindungi pengguna daripada terbeli peralatan seludup,” katanya.

Aplikasi e-ComM turut digabungkan dengan Malaysia's National Single Window (NSW) yang dibangunkan oleh Dagang Net, iaitu syarikat dilantik oleh Kementerian Kewangan sebagai pemudahcara perdagangan dan kelulusan KDRM.

Penggunaan aplikasi e-ComM juga bagi memastikan tanda atau label persijilan SKMM digunakan dengan betul tanpa sebarang unsur penipuan dan pemalsuan serta membantu SKMM menyediakan laporan berkala.

Saturday 14 April 2012

Budak sepintar Stephen Hawking



LONDON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun warga British diterima sebagai individu yang mempunyai kecerdasan akal (IQ) yang hanya kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia, Stephen Hawking, kata Persatuan Kecerdasan Akal (IQ) Tinggi (Mensa) yang dipetik akhbar The Sun.
Ketua Eksekutif Mensa British John Stevenage, berkata organisasi itu bangga mengalu-alukan Heidi Hankins dari Winchester, England, ke ranking itu selepas beliau mendapat markah 159 dalam ujian IQ dan meletakkannya hanya satu markah di belakang IQ Hawking iaitu 160 markah.
Ujian yang diambil kanak-kanak terbabit khusus dibuat untuk kanak-kanak seusia dengannya dan mengandungi campuran soalan yang berupa penyelesaian masalah dan permainan perkataan. 

Akhbar Korean Herald pula melaporkan bapa kanak-kanak itu, Matthew Hankins, 46, berkata dia dan isterinya sejak awal sudah mengetahui yang anak mereka istimewa. 

“Kami selalu fikir Heidi bijak kerana dari kecil dia sudah pandai membaca. Saya ingin tahu mengenai IQ anak kami dan hasilnya adalah luar jangkaan. 

“Saya membelikannya satu set buku bacaan kanak-kanak Oxford ketika dia berusia dua tahun dan Heidi membaca keseluruhan set yang mengandungi 30 buku dalam masa sejam. 
“Sebenarnya apa yang dilakukan Heidi ini adalah yang boleh dilakukan kanak-kanak berusia tujuh tahun. 

“Heidi cuba bercakap sejak mula lahir dan pada usia setahun dia fasih bercakap dan banyak perkataan diketahuinya,” katanya. 

Matthew yang juga pensyarah kesihatan awam di Universiti Southampton, berharap anaknya boleh melompat kelas setahun untuk membolehkan kanak-kanak itu selari dengan cabaran. 

Mensa adalah persatuan IQ tinggi tertua dan terbesar dunia. Ia adalah organisasi bukan kerajaan dan terbuka kepada mereka yang mendapat markah 98 peratus atau lebih tinggi daripada standard ditetapkan dengan IQ dipantau atau ujian kecerdasan lain yang diluluskan. 

Aktres Hollywood Sharon Stone mempunyai IQ sebanyak 154, manakala penyanyi Columbia turut termasuk dalam individu istimewa dengan IQ sebanyak 140.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...