Saturday 31 March 2012

ular prasejarah terbesar di dunia


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah replika ular prasejarah raksaksa sepanjang sebuah bas sekolah dipamerkan kepada orang ramai di sini semalam.
Titanoboa ialah ular prasejarah terbesar di dunia dengan memiliki panjang sekitar 16 meter.
Reptilia pemangsa itu dipamerkan di Muzium Nasional Sejarah Semulajadi bersama haiwan bertulang belakang lain hingga Januari 2013.
Fosil Titanoboa pertama kali ditemui di sebuah lombong arang batu di Colombia pada 2004.
"Ular ini ini menjadi bukti betapa ajaibnya alam semula jadi," kata seorang saintis yang turut membantu membuat penemuan tersebut, Carlos Jaramillo.
Menurutnya, ular itu memiliki berat lebih 1,000 kilogram.
Ia ditemui berhampiran beberapa fosil pokok, penyu gergasi sebesar meja makan dan haiwan lain yang dipercayai berusia lebih 60 juta tahun dahulu iaitu era selepas kewujudan dinosaur.

Friday 30 March 2012

3 aplikasi baru Google Maps



GOOGLE Malaysia memperkenalkan tiga penambahan utama kepada Google Maps yang membolehkan pengguna di negara ini merancang dengan lebih baik perjalanan mereka dan mendapatkan maklumat semasa. 

Penambahan itu membabitkan dua lapisan baru, ‘Traffic’ dan ‘Transit’, serta antara muka dalam Bahasa Malaysia.
Pengurus Negara Google Malaysia Sajith Sivanandan berkata, dengan membuka lapisan ‘Traffic’ di Maps, pengguna boleh melihat dengan segera sama ada jalan raya sesak atau bergerak lancar berdasarkan kepada kod warna.
“Merah bagi jalan sesak, kuning bagi yang bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. 

“Lapisan baru ini memudahkan pemandu untuk merancang laluan alternatif ke destinasi mereka,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam. 

‘Transit’ menyediakan maklumat mengenai perjalanan menggunakan sistem pengangkutan awam Malaysia di Google Maps. 

Ia juga menawarkan pilihan lebih baik bagi pengguna Malaysia yang mahu mengelakkan kesesakan trafik dan pergi ke bandar dengan menggunakan pengangkutan awam. 
Sajith berkata, data bagi ‘Traffic’ dan ‘Transit’ diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk, jabatan pengangkutan kerajaan dan penyedia data swasta. 
Sementara itu, Google Maps kini tersedia dalam bahasa Malaysia. 

Versi Google Maps dalam bahasa Malaysia yang sudah lama ditunggu-tunggu itu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengemudi dan berantara muka dengan Google Maps, menggunakan bahasa yang mereka paling selesa. 

“Penambahan baru ini adalah sejajar dengan misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikan ia berguna dan boleh diakses sejagat, di samping mengukuh, menambah baik dan menyetempatkan produk dan perkhidmatan,” kata Sajith. 

Google rancang keluarkan tablet kos rendah



SAN FRANCISCO: Google akan bekerjasama dengan pengeluar peranti mudah alih di Asia bagi menghasilkan tablet bersaiz tujuh inci pada harga rendah untuk bersaing dengan tawaran yang dibuat Amazon.com dan Apple, demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini. 

Perisian Android yang dimiliki gergasi Internet di California itu akan digunakan dalam perisian yang dihasilkan oleh rakan kongsinya termasuk Samsung dan Asustek untuk bersaing dengan iPad dan Kindle, menurut laporan yang dikeluarkan Digitimes dan Wall Street Journal.
Menurut Digitimes, tablet Asustek yang akan dilancarkan pada awal Mei depan dengan harga AS$199 yang bakal memberi pilihan kepada pembeli berbanding peranti Kindle Fire yang dikeluarkan Amazon.com

Sunday 25 March 2012

Belanja kahwin di AS mahal, sekitar RM83,140


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Purata kos perkahwinan di AS kini mencecah AS$27,021 (RM83,140), tidak termasuk belanja percutian bulan madu, menurut laman web perkahwinan TheKnot.com dan Wedding Channel.com.
Kota metropolitan ini yang mencatat perbelanjaan perkahwinan sekitar AS$65,824 (RM202,701) muncul bandar raya termahal untuk berkahwin di AS.
Negeri Virginia Barat pula merekodkan kos perkahwinan paling murah di negara kuasa besar berkenaan iaitu purata AS$14,203 (RM43,716).
Senarai itu dibuat berdasarkan kaji selidik oleh dua laman web tersebut terhadap 18,000 pengantin yang mendirikan rumah tangga pada tahun lalu di AS.
"Buat kali pertama sejak 2008, bajet perkahwinan kini meningkat," kata pengasas bersama The Knot, Carley Roney.
"Pada tahun 2011, satu dalam setiap lima pasangan di AS membelanjakan lebih AS$30,000 (RM92,394) manakala 11 peratus pula membayar lebih AS$40,000 (RM123,192) untuk berkahwin," tambahnya.
Editor laman web TheKnot.com, Anja Winikka berkata, faktor ekonomi AS yang semakin pulih menyumbang kepada kenaikan kos perkahwinan di negara itu.

Saturday 24 March 2012

Jana pendapatan muzik di YouTube


YOUTUBE memeterai perjanjian pelesenan dengan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) yang akan membolehkan pemuzik dan komposer Malaysia meraih pendapatan di YouTube.
Pengarah pengurusan produk YouTube Asia-Pasifik, Adam Smith berkata, pendapatan akan dikumpulkan apabila iklan dipaparkan di video rakan YouTube.

“Untuk kali pertama di bawah perjanjian ini, pencipta Malaysia akan menerima bayaran daripada persatuan mereka apabila pemegang hak mengagihkannya,” kata beliau dalam taklimat media di Kuala Lumpur, kelmarin.
Sempena pelancaran ini, YouTube telah menjalinkan kerjasama perjanjian dengan syarikat media terkemuka Malaysia termasuk Astro Malaysia dan KRU Studios.

Monday 19 March 2012

TM maju sistem kabel gentian optik dasar laut kedua



TELEKOM Malaysia Bhd (TM) akan memajukan satu lagi projek mega dalam industri telekomunikasi negara apabila merancang membina sistem kabel gentian optik dasar laut utama yang kedua menghubungkan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, tahun depan. 

Perancangan projek kabel dasar laut merentasi Laut China Selatan yang terbaru itu membuktikan komitmen TM mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab IP serantau dan TM sebagai hab pertukaran maklumat utama Asia ke peringkat global.
Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata ia dirancang bagi meningkatkan kapasiti trafik data TM ke Sabah dan Sarawak yang sebelum ini disokong oleh Sistem Gentian Optik Bumi Trans Borneo.
Katanya, perancangan itu selaras dengan pelan meningkatkan keupayaan saluran data dan protokol internet (IP) TM ke Sabah dan Sarawak yang turut membabitkan langkah menaik taraf sistem utama kabel dasar laut sedia adanya serta kabel penghubung ke kawasan liputan kepada gentian optik. 

“Semua rancangan menaik taraf kabel kami sudah bermula, apabila semua sistem kabel utama dasar laut berkapasiti tinggi ini bersedia kelak, ia akan memudahkan kami memajukan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di kawasan ekonomi berimpak tinggi di Sabah dan Sarawak. 

“Secara asasnya semua kabel dasar laut utama di Sabah dan Sarawak ini sudah menggunakan gentian optik, cuma kabel saluran keluarnya saja masih belum ada gentian optik, jadi bagi cabang keluar ini kami mungkin akan utamakan lokasi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlebih dulu. 

“Kos pembangunan dan pelan sistem kabel dasar laut kedua ini masih belum dimuktamadkan kerana ia akan dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada media, dalam temubual eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
Kini, sambungan kabel utama gentian optik dasar laut peringkat global TM adalah meliputi ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Hong Kong dan Singapura. 

Tahun lalu TM membelanjakan 1.4 bilion bagi pembangunan projek HSBB lebih rendah berbanding sekitar RM1.6 bilion hingga RM1.8 bilian yang dibelanjakan pada 2010, dengan perkongsian pelaburan kerajaan kira-kira 50 peratus.

Katanya, tahun ini TM memperuntukkan sekitar 1.3 bilion hingga 1.5 bilion untuk pembangunan HSBB atau lebih dikenali sebagai UniFi.

Friday 16 March 2012

Fasa kedua jalur lebar negara


KUALA LUMPUR 14 Mac - Telekom Malaysia Bhd (TM) akan memulakan fasa kedua pemasangan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) bermula 2013 yang memfokuskan kawasan-kawasan tumpuan aktiviti ekonomi baharu serta ibu-ibu negeri seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (TM), Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, pemasangan di fasa kedua itu berdasarkan permintaan di sesuatu lokasi dan ia berbeza dengan fasa pertama sebelum ini yang dipasang secara menerus ke kawasan tumpuan ekonomi.

Katanya lagi, fasa kedua itu juga akan dibiayai oleh TM berbanding sebelum ini yang dibiayai kerajaan menerusi usahasama awam swasta (PPP) yang akan selesai pada penghujung tahun ini.

"Kami masih belum merancang sepenuhnya fasa kedua ini, syarikat terlebih dahulu akan menilai keperluan dan permintaan data (Internet) di sesuatu kawasan tersebut sebelum memasangnya," katanya kepada pemberita pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara TM dan REDtone Marketing Sdn Bhd (REDtone) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie,

Pengerusi REDtone International Bhd., Datuk Ibrahim Che Mat, Timbalan Pengerusi REDtone International Bhd, Datuk Wira Syed Ali Syed Abbas Alhabshee, Pengarah Urusan REDtone International Bhd, Datuk Wei Chuan Beng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon dan Ketua Pegawai Kewangan TM, Datuk Bazlan Othman.

Kata Zamzamzairani lagi, pada fasa pertama, pemasangan perkhidmatan HSBB lebih ditumpukan ke kawasan-kawasan yang menyumbang kepada 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti Lembah Klang, Iskandar, Johor dan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

Jelas beliau lagi, syarikatnya sentiasa mempelawa mana-mana syarikat telekomunikasi yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan TM bagi meluaskan perkhidmatan HSBB.

REDtone merupakan syarikat keempat selepas Maxis, Celcom dan P1 yang menjalinkan kerjasama tersebut. Menurut perjanjian itu, TM akan menyediakan perkhidmatan HSBB (akses dan transmisi) kepada Redtone sekali gus membolehkan mereka mempunyai akses kepada 1.3 juta premis yang menerima liputan HSBB di seluruh negara.

Wednesday 14 March 2012

20 aplikasi percuma


MAXIS Berhad (Maxis), penyedia perkhidmatan telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia terus komited memperkaya lagi pengalaman pelanggannya apabila memperkenalkan 20 aplikasi eksklusif untuk digunakan di atas pelbagai platform telefon pintar termasuk iPhone, Android dan tablet.
Aplikasi ini boleh dipindah turun secara percuma daripada Maxis Apps di alamat maxis.com.my/apps atau boleh terus ke Apps Store atau Android Market.

Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti, Inovasi & Perayauan Maxis, T Kugan berkata, semua aplikasi yang dibangunkan dan diperkenalkan sesuatu yang sangat berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.
“Antara yang popular ialah Maxis Movies yang dipindah turun lebih 150,000 pelanggan. Ia memudahkan pelanggan yang kaki wayang, yang bukan sekadar mendapat maklumat mengenai filem malah boleh menempah terus tiket menggunakan telefon bimbit mereka. “Lebih menguntungkan lagi bagi pengguna apabila mereka mendapat satu tiket percuma dengan setiap belian satu tiket,” katanya pada majlis Jelajah Pengalaman Media Maxis Apps di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Kugan, semua aplikasi terbabit dibangunkan rakyat tempatan kecuali PayPal yang bukan saja memiliki aplikasi sendiri, tetapi turut menjadi pihak ketiga bagi penggunaan aplikasi membabitkan transaksi kewangan seperti Maxis Movies. Walaupun tidak mengulas mengenai jumlah pembangun aplikasi tempatan yang terbabit setakat ini, Maxis komited memupuk pertumbuhan kandungan tempatan dengan kerjasama pemaju aplikasi tempatan.

Kugan berkata, 31 peratus pelanggan Maxis menggunakan telefon pintar, 35 peratus lebih gemar menggunakan aplikasi mudah alih dan 65 peratus menggunakan web mudah alih.
“Maxis memiliki lapan juta pelanggan Internet mudah alih yang dicatatkan pada 31 Disember 2011. Pendapatan Maxis dari perkhidmatan bukan suara ialah 43.5 peratus. Itu menunjukkan pelanggan lebih gemar mencapai Internet menggunakan peranti mudah alih. Dan Maxis Apps nilai tambahan yang menjadikan pengalaman mudah dan menarik,” katanya lagi.

Selain Maxis Movie, turut diperkenalkan semalam ialah Maxis F1, Maxis Customer Service, Maxis BPL, Maxis Roam, Maxis One Music, Maxis PayPal, Maxis Mobile Speed Test, Maxis Holidays, Maxis Currency Converter, Maxis Rewards, Maxis QR dan FINDER301.

Saturday 10 March 2012

Malaysia cukup solar


BARU-BARU ini, Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) iaitu syarikat penghasilan solar Panasonic Corporation yang ditubuhkan di Malaysia pada Disember 2011 mengadakan majlis pecah tanah dan pertukaran Perjanjian Sewaan Tanah dengan kerajaan negeri Kedah.
Ia menyaksikan Panasonic menghasilkan kemudahan prasarana penghasilan solar baru yang akan dibina secepat mungkin selain berhasrat dapat memulakan operasinya menjelang Disember 2012.
Prasarana itu yang dinamakan Pusat Solar Bersepadu, pertama dibina di Asia (luar Jepun) bakal mengeluarkan produk menyeluruh berkaitan solar yang belum pernah diteroka mana-mana syarikat sebelum ini.

Pusat Solar Bersepadu yang bakal dibina di Taman Teknologi Kulim itu mampu menghasilkan Panasonic Heterojunction Dengan Lapisan Nipis Pada Dasarnya (HIT) iaitu modul solar yang menawarkan kecekapan penukaran cahaya kepada sumber elektrik.


Ia secara tidak langsung memberi ciri cemerlang bagi pergantungan suhu yang dapat memastikannya lebih berkuasa walaupun ketika musim panas yang menyerap tenaga solar pada suhu tinggi.

Panasonic memilih Malaysia sebagai pangkalan baru berdasarkan sokongan kerjasama pelaburan negara ini serta prasarana yang baik dan kualiti tenaga kerja cemerlang.

Pusat Solar Bersepadu baru ini akan melaksanakan penghasilan wafer solar bersepadu, sel solar dan modul dengan anggaran kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 300 megawatt (MW).

Serentak itu, Panasonic akan melabur RM1.84 bilion dalam membangunkan kemudahan ini.

Dengan peningkatan kesedaran alam sekitar di peringkat global dan pengenalan sistem subsidi serta skim Feed-in-Tariff (FiT) di pelbagai negara, pasaran solar dijangka meningkat.

Permintaan yang kukuh dijangka berkembang dalam sektor kediaman yang menjadi sasaran utama bagi modul solar Panasonic HIT.

Presiden Panasonic, Masato Ito berkata, sebaik saja kemudahan penghasilan baru ini bermula, kapasiti pengeluaran syarikat itu akan menjadi 1.5 kali lebih besar berbanding sekarang.

“Dengan adanya kemudahan asas ini, kami berharap dapat meneruskan sumbangan kepada pembangunan Malaysia, seterusnya mengembangkan perniagaan kami di peringkat global,” katanya.

Pusat Solar Bersepadu terbabit mendapat sokongan padu kerajaan negeri yang mengharapkan penggunaan solar dapat dimanfaatkan masyarakat Kedah.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Kulim Technology Park Corporation, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan, lokasi yang dipilih Panasonic bersesuaian bagi penggunaan solar yang membantu teknologi hijau pada masa depan.

“Dengan peningkatan kesedaran alam sekitar, jangkaan terhadap penjanaan tenaga solar akan meningkat di seluruh dunia.

Berdasarkan hubungan rapat dan mesra yang terjalin dengan Panasonic Corporation, negeri Kedah dan kerajaan Malaysia akan menyokong perniagaan solar dan pangkalan penghasilan baru ini,” katanya.

Pangkalan baru ini bukan saja membantu Panasonic meningkatkan pengeluaran modul solar dan memenuhi permintaan pasaran, tetapi ia juga mengukuhkan kos daya saing dengan menyediakan pengeluaran wafer, sel dan modul bersepadu Panasonic yang pertama bagi syarikat itu.

Panasonic bukan hanya memasarkan modul solar saja tetapi turut disertakan dengan sistem penyimpanan bateri dan pelbagai peranti lain.

Tambahan lagi, Panasonic akan mempercepatkan pembangunan perniagaan solar secara global dengan kerjasama Penyelesaian Perniagaan Tenaga Komprehensif yang turut didatangkan bersama kumpulan syarikat Panasonic.

Pengarah Urusan Panasonic Asia Pasifik, Yorihisa Shiokawa berkata, Panasonic memberi fokus kepada perniagaan tenaga global yang kompetitif.

“Kami mendapati harga untuk produk berkaitan solar kini menurun di peringkat global dan ia sepatutnya dimanfaatkan masyarakat negara ini untuk mendapatkan tenaga alternatif yang berkos kompetitif,” katanya.

Beliau memaklumkan, Panasonic bakal menawarkan penyelesaian bersepadu bagi tenaga solar termasuk produk rumah yang secara tidak langsung memberi manfaat bagi penggunaan tenaga mesra alam.

“Ketika dunia tercari-cari penggunaan tenaga baru, solar adalah penyelesaian terbaik manakala Malaysia juga mempunyai pancaran matahari yang cukup,” kata Shiokawa.

Yoshikiwa turut memaklumkan, penyelesaian Panasonic lebih tertumpu kepada penggunaan bagi kawasan kediaman biasa berbanding rumusan China yang lebih mementingkan penggunaan industri berskala besar.

“Panasonic memahami keperluan rumah amat penting bagi pengguna biasa,” katanya.
Majlis pecah tanah pangkalan solar Panasonic dirasmikan wakil Menteri Besar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Rasul.


Cahaya solar ke atmosfera bumi

Cahaya matahari yang memancar ke atmosfera bumi menghasilkan kira-kira 1,366 watt semeter persegi (W/m2).

Bagaimanapun, faktor seperti latitud, musim tahunan dan cuaca akan mengurang�kan perolehan tenaga pada paras bumi.

Apabila bergerak merentasi atmosfera, enam peratus sinaran matahari akan dipantulkan manakala 16 peratus lagi diserap lalu menghasil�kan sinaran puncak pada khatulistiwa yang berukuran 1,020 W/m� sebelum keadaan atmosfera purata (awan, debu atau pencemaran) mengurang�kan jumlah cahaya pada kadar 20 peratus melalui pantulan dan tiga peratus melalui penyerapan.

Keadaan atmosfera bukan saja mengurangkan jumlah cahaya yang mencapai permukaan bumi tapi juga mempengaruhi kualiti melalui penyerakan cahaya dan pengubahan spek�trumnya.

Contohnya, di Amerika Utara, proses cahaya yang dinamakan penyuriaan purata berukuran antara 125 dan 375 W/m� iaitu kuasa yang boleh diperoleh dan bukan kuasa yang dibekalkan.

Panel fotovolta pada masa kini mengubah kira-kira 15 peratus cahaya matahari secara terus kepada elektrik, maka panel matahari di Amerika Syarikat mengeluarkan secara purata 19 ke 56 W/m� atau 0.45-1.35 kWh/m�/hari.

Hanya sedikit kebimbangan timbul iaitu masalah kekaburan, satu kesan pencemaran yang menyebabkan hanya sedikit cahaya matahari dipancarkan ke permukaan bumi.

Ia berkait rapat dengan pencemaran zarah dan pemanasan global serta kebanyakan kerisauan pada isu perubahan iklim sejagat tapi mencetuskan kebimbangan penyokong tenaga matahari kerana potensi kekurangan tenaga matahari yang ada pada masa hadapan.


Penggunaan solar di Malaysia

Solar yang juga termasuk dalam kategori sumber tenaga diperbaharui, antara lain boleh diperoleh menerusi penggunaan cahaya matahari dengan memasang panel solar seperti kaca di bangunan industri, komersial, perumahan dan bangunan awam.

Panel itu berfungsi menghasilkan bekalan elektrik untuk menggerakkan peralatan dalam unit kediaman atau bangunan berkenaan.

Umum mengetahui bekalan tenaga elektrik di unit kediaman atau bangunan komersial ketika ini dibekalkan stesen atau loji tenaga kuasa yang kebanyakannya berasaskan minyak sebagai penjana utamanya.

Setakat ini, tenaga solar adalah pilihan terbaik dalam mendapatkan sumber tenaga alternatif di negara kita yang sememangnya terkenal sebagai negara yang mempunyai sumber cahaya matahari yang banyak.

Bagaimanapun, galakan peng�gunaannya boleh dimulakan dengan memberi penumpuan khusus kepada beberapa projek hartanah dan komersial yang lestari bagi memperkenal�kan konsep perumahan atau bangunan yang menggunakan tenaga solar di Malaysia.

Usaha berkenaan perlu dilakukan secara kolektif, sama ada daripada kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta kerana kelebihan menggunakan tenaga solar ini memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara usaha yang boleh dilakukan kerajaan termasuk memperkenalkan dasar yang jelas dan PBT memberi insentif dalam bentuk pengurangan dari segi cukai pintu kepada kediaman atau bangunan berasaskan ‘kediaman hijau’ atau ‘bangunan hijau’.

Pelaksanaan mekanisme tarif pembayaran bagi janakuasa tenaga boleh diperbaharui atau FiT di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) yang diwartakan, dijangka turut membantu meningkatkan lagi penggunaan tenaga solar di dalam negara.

Pelaksanaan mekanisme FiT menerusi Akta Tenaga Boleh Diperbaharui itu diumumkan kerajaan pada Bajet 2011 lalu bagi membolehkan bekalan elektrik yang dihasilkan premis perumahan dan penyedia bebas dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Melalui undang-undang tenaga diperbaharui itu, individu yang menjana tenaga solar ini akan mendapat pulangan sehingga lima kali ganda tenaga elektrik yang dijual kepada TNB dan pembayaran ini dijamin kerajaan selama 21 tahun.

Ia turut mampu diperluaskan meliputi kawasan sesebuah pekan seperti yang diamalkan di Jepun yang menyaksikan penghuni di kawasan itu menggunakan kuasa solar sepenuhnya dalam mendapat�kan bekalan elektrik dengan menggunakan sistem solar yang disambungkan ke grid tenaga luar.


Dua unit Tarbin Penjana TNB bernilai RM80 juta dibina di Kubota


TAWAU: Dua unit Tarbin Penjana TNB bernilai RM 80 juta yang dibina di Kubota di sini dijangka akan menambah keupayaan janaan bekalan elektrik daripada kira-kira 65 megawatt ketika ini, hinggalah kepada 130 megawatt.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Pang Yuk Ming berkata, tambahan janaan bekalan itu juga akan meningkatkan kadar simpanan bekalan elektrik di daerah ini, sebaik ia beroperasi pada Ogos depan.

Menurutnya, set janakuasa yang sedia ada ketika ini hanya mampu menjana bekalan elektrik di antara 50 hingga 65 megawatt, yang diakibatkan oleh masalah enjin yang terlalu lama dan tidak efisyen.

Dengan adanya kedua-dua unit tarbin itu katanya, bekalan elektrik bakal dapat dijana melebihi keperluan pengguna, yang dijangka meningkat kepada 80 hingga 90 megawatt, hasil pembangunan yang kian pesat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mengenai Peningkatan Kapasiti Penjanaan Di Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau yang kemudiannya turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan janakuasa di Kubota turut menyatakan bahawa pembinaan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SESB ujarnya, kadar pencemaran bunyi dan gegaran di kawasan itu akan berada di tahap yang rendah, sekaligus tidak akan menjejaskan penduduk di sekitarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SESB, Ir. Abd Razak Salim berkata, pembinaan janakuasa tarbin itu adalah antara terkandung di dalam pelan jangka sederhana SESB bagi menangani pertambahan permintaan pengguna.

Ia katanya akan dapat memenuhi keperluan sementara menunggu Projek Stesen Janakuasa LNG di Lahad Datu siap beroperasi pada 2015.

Hadir sama ialah Pengurus SESB Zon Tawau, Rudy Thaddeus.

Sandakan bakal muncul destinasi popular di kalangan pelancong


SANDAKAN: Bandar ini yang didiami kira-kira 453,000 orang penduduk mengikut bancian penduduk pada tahun 2010 akan muncul sebagai sebuah destinasi paling popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.
Bukan sahaja mengambil kira kawasan pelancongannya yang menjadi tumpuan saban tahun seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok; Labuk Bay Probocis Monkey; Sungai Kinabatangan; Gua Gomantong;Taman Buaya; Mini Zoo Batu 16 dan beberapa pulau yang menggamit tumpuan pelancong.
Akan tetapi sesungguhnya Sandakan yang mendapat jolokan sebagai bandar mini ‘Hongkong’ akan bertambah maju dengan kewujudan Sandakan Harbour Square yang menempatkan sebuah hotel bertaraf lima bintang termasuk pusat membeli-belah.
Sememangnya bandar ini bertuah kerana selain dianugerahi dengan keindahan alam semula jadi yang mampu menarik orang ramai khususnya pelancong asing tetapi bila siap sepenuhnya bandar tepi laut itu tentulah merancakkan lagi industri pelancongan di negeri Sabah khasnya daerah ini.
Tidak mustahil Sandakan yang telah wujud sebagai sebuah residensi semenjak tahun 1948 akan menjadi bandar popular untuk dilawati selepas bandar raya Kota Kinabalu berdasarkan daya tarikan pelancongan yang terdapat di bandar ini.
Penduduk Sandakan terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, Kadazandusun dan suku-suku lain seperti kaum Bajau, Murut, Sungai, Bugis, Suluk dan sebagainya.
Menurut sejarah lampau, lagenda Sandakan bermula beberapa tahun sebelum Pryer. Kampung German yang dijadikan oleh Kaptain William Schuck berbangsa Jerman sebagai pangkalan perniagaan merupakan penempatan pertama, walaupun pada masa tersebut sudah ada beberapa orang Sulu yang menetap di sekitar laut berdekatan.
Apabila Kaptain William Schuck mendapat sebuah pulau di kesultanan Sulu, maka Wiliam Clarke Cowie, seorang pedagang dan pelaut dari Scotland, telah mengantikannya. Penempatan ini menjadi pusat perniagaan senjata yang tidak berjaya. Beliau akhirnya mencari rakan niaga dari Kesultanan Sulu dan meninggalkan Kampung German.
Pada masa yang sama Baron de Overbeck telah berjaya mendapatkan konsesi sebahagian wilayah Sandakan setelah bertemu dengan Sultan Sulu yang bernama Sultan Jamal Ui Alam. Keluasan ini bermula dari Sungai Sibuco (Sg. Sibuga) sehinggalah wilayah Sungai Padasan kira-kira 20,000 batu persegi.
Menurut perjanjian tersebut, Baron de Overbeck akan membayar sebanyak $5,000 setiap tahun. Serentak itu juga, Baron de Overbeck diisytiharkan sebagai Dato Bendahara serta Raja Sandakan berkuatkuasa pada 1878.
Untuk mentadbir wilayah yang dimilikinya, de Overbeck telah menyerahkan pentadbiran dan pengurusan kawasan-kawasan ini kepada beberapa pegawai Inggeris yang dipercayainya.
Antara orang yang dipercayainya ialah William Burgess Pryer.
Bandar Sandakan mula berkembang apabila ia di tadbir oleh William B. Pryer pada 21 Jun 1879.

RM6b untuk kenaikan gaji, COLA



JOHOR BAHRU: Pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus serta kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA) untuk penjawat awam di seluruh negara, akan membabitkan peruntukan tambahan lebih RM6 bilion kepada kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, pihaknya akan membuat penelitian bagi menentukan jumlah sebenar peruntukan yang perlu dikeluarkan bagi semua kenaikan gaji dan COLA untuk kakitangan awam yang diumumkan kelmarin.

“Kita terpaksa menyediakan peruntukan tambahan, sebab mementingkan golongan penjawat awam dalam kategori kumpulan pelaksana atau sokongan yang besar, kali ini kerajaan mahu seberapa ramai penjawat awam mendapat maksimum 13 peratus, jadi kita naikkan sampai ke Gred 54.
“Dengan ini, kita terpaksa mencari peruntukan tambahan. Semua tambahan dijangka lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan untuk semua kenaikan gaji termasuk kenaikan COLA yang saya umumkan,” katanya selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di sini, semalam. 

Sehubungan itu, Najib menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibuat atas desakan pembangkang, sebaliknya, pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) itu janji beliau ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober tahun lalu. 

“Saya nak rujuk ucapan belanjawan saya pada Oktober tahun lalu, di mana saya memberi komitmen penjawat awam akan menerima pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus, tetapi bila SBPA digubal, maka ia tergelincir daripada tafsiran asal yang saya umumkan. 

“Sehubungan itu, kerajaan mengambil keputusan kembali semula komitmen yang saya berikan pada bajet lalu. Ini tiada kena mengena dengan apa yang didakwa pembangkang, biasalah dia (pembangkang), (umpama) lembu punya susu (sapi dapat nama), biasalah pembangkang,” katanya. 
Perdana Menteri turut menolak tanggapan pembatalan SBPA adalah bayangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan dalam masa terdekat. 

“PRU lain, ini (SBPA) lain. Ini janji saya tahun lalu kepada penjawat awam. Jadi kerajaan hari ini menunaikan janji, kalau ada yang tak berapa betul kita akan balik kepada pangkal jalan, kepada landasan sebenarnya, sebab itu kita ketepikan SBPA dan balik kepada SSM yang diberi penambahbaikan,” katanya. 

Najib yang dalam rangka lawatan dua hari ke Johor mulai semalam, berkata beliau berpendapat negeri ini masih berteraskan Barisan Nasional (BN). 

Di KUALA PILAH, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan kerajaan membatalkan SBPA bukan kerana kegagalan kerajaan melaksanakan sesuatu dasar seperti dakwaan pembangkang. 

Katanya, pembatalan itu dibuat selepas kajian mendapati sistem itu tidak memenuhi tuntutan bagi meningkatkan gaji dan kemudahan lain untuk kakitangan awam. 

“Ketika kita mahu mengemukakan SBPA, rupa-rupanya ada perkara tidak kita ketahui pada peringkat awal. 

“Apabila diperincikan satu persatu, CUEPACS memberikan pandangan apa yang diusulkan (SBPA) tidak memenuhi tuntutan mereka dari segi meningkatkan perkhidmatan, gaji dan kemudahan lain kepada kakitangan awam,” katanya. 

Katanya, SBPA juga belum dilaksanakan kerana kerajaan baru mengemukakan tawaran dan maklum balas penjawat awam menyebabkan skim itu dikaji semula.

Friday 9 March 2012

P1 peruntuk RM900j jayakan pelan evolusi


PACKET One Network (Malaysia) Sdn Bhd (P1), penyedia perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G WiMAX pertama di Malaysia, memperuntukkan sehingga RM900 juta bagi perbelanjaan modalnya dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Michael Lai berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelan evolusi syarikat berkenaan, P1 2.0 Evolution yang menyasarkan melonjakkan P1 untuk muncul sebagai antara syarikat telekomunikasi terunggul di negara ini.

“Sepanjang tempoh itu, P1 2.0 Evolution memberi penekanan terhadap tiga elemen utama iaitu menawarkan pakej ‘Best of Both Worlds (BBW)’, memperkenalkan teknologi 4G Time Division Long Term Evolution (TD LTE) serta menyediakan produk yang mampu meningkatkan kecekapan pelanggant,” katanya pada taklimat media di Petaling Jaya, semalam.
Lai menjelaskan pakej BBW akan dilancarkan akhir bulan ini, dan P1 adalah satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang menawarkan jalur lebar gentian optik bersama dengan perkhidmatan tanpa wayar 4G.

“Kombinasi eksklusif ini direka bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi di lokasi tetap, pada masa sama masih memerlukan kemudahan jalur lebar tanpa wayar 4G apabila mereka keluar,” katanya.

Tambahnya, memandangkan permintaan bagi jalur lebar mudah alih semakin tinggi, P1 juga mengambil peluang untuk menyediakan teknologi 4G TD LTE iaitu satu standard teknologi antarabangsa bagi telekomunikasi 4G generasi seterusnya menjelang 2013.

“TD LTE menjanjikan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan terpantas yang akan mengubah cara pengguna melihat penggunaan data mudah alih seterusnya mewujudkan peluang kepada pemaju aplikasi inovatif dan usahawan untuk memasuki pasaran,” katanya.

Saturday 3 March 2012

CIMB bakal 10 bank pelaburan terbesar Asia



CIMB Group Holdings Bhd bakal muncul antara 10 bank pelaburan terbesar di Asia, selain Jepun apabila ia menyelesaikan pengambilalihan beberapa perniagaan milik Royal Bank of Scotland Group Plc (RBS).

Langkah berkenaan bakal menyaksikan kumpulan perbankan tempatan kedua terbesar itu mengendalikan perniagaan perbankan pelaburan, ekuiti institusi dan ekuiti runcit di Australia, Malaysia, Thailand, Indonesia, India, Singapura, Hong Kong, China, Taiwan serta Korea selain memiliki keupayaan pengedaran ekuiti global termasuk di Eropah dan Amerika Utara.
Setakat semalam, kemajuannya adalah amat memberangsangkan untuk CIMB Group apabila beberapa eksekutif utama RBS Australia memberikan sokongan padu kepada cadangan pengambilalihan itu.
Ketua Ekuiti RBS Australia, Randolf Clinton, menyifatkan perjanjian awal yang dimeterai CIMB Group dan RBS kelmarin sebagai satu janji niaga yang sudah pun pasti.

“Secara realistik, seperti mana-mana urus niaga, badan kawal selia perlu dihubungi dan perlu melalui formaliti sebelum memuktamadkannya, tetapi berdasarkan cara kami mengendalikan perniagaan, kami menganggap janji niaga itu sudah selesai,” kata beliau seperti yang dipetik dalam akhbar Wall Street Journal semalam.

Clinton berpendapat ia adalah satu usaha sama yang amat baik dan akan menyediakan peluang kepada RBS Australia serta keseluruhan perniagaan di Australia dan kawasan serantau.

Ia juga, katanya akan mendedahkan kakitangan RBS Australia kepada peralihan seismik kuasa global ke Asia.
Tegasnya, sokongan beliau kepada janji niaga itu berdasarkan pelanggan CIMB Group yang meluas di kedua-dua peringkat, global dan serantau.

“Jika kita melihat kepada proforma CIMB Group dan RBS, kami percaya kumpulan itu akan berada dalam senarai antara 10 teratas di Asia Pasifik selain Jepun bagi perniagaan berkaitan pengambilalihan dan penggabungan (M&A), pasaran modal ekuiti dan ekuiti tunai,” katanya.

Mengikut laporan Wall Street Journal itu, Ketua Perbankan Pelaburan RBS Australia, Nicholas Rowe dan Pengerusi Kumpulan Perbankannya, Simon Perrott, turut menyokong urus niaga itu.

Rowe menyifatkan CIMB Group sebagai bank universal paling berjaya di Asia Tenggara dan bertaraf dunia dalam rangkaian produk ditawarkannya.

CIMB Group kelmarin mengumumkan telah memeterai perjanjian dengan RBS bagi memulakan rundingan eksklusif bagi mengambil alih beberapa perniagaan berkaitan ekuiti tunai, pasaran modal ekuiti, dan kewangan korporat bank berpangkalan di United Kingdom itu di Asia Pasifik.

Friday 2 March 2012

Kekayaan 40 individu cecah RM192 bilion



NILAI gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak AS$2.3 (RM7 bilion) kepada AS$64.4 bilion (RM192 bilion) daripada tahun sebelumnya, demikian mengikut senarai terbaru majalah kewangan dan perniagaan Forbes.

Bilangan rakyat negara ini yang berada dalam kelompok individu dunia yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) juga bertambah kepada 11 daripada 10 tahun sebelumnya.
Jutawan Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya Malaysia dengan nilai kekayaan bersih AS$12.4 bilion (RM37 bilion) meskipun jumlah itu menurun sedikit daripada AS$12.5 bilion (RM37.5 bilion) setahun sebelumnya.
Kuok, 88, yang mempunyai empayar perniagaan meliputi gula, sawit, perkapalan dan hartanah menguasai kedudukan itu sejak 2006 ketika Forbes Asia memulakan senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya itu.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai kekayaan bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.2 bilion) kepada AS$9.9 bilion (RM29.7 bilion).

Beliau kini sedang meluaskan portfolio perniagaan berkaitan tenaga di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Barat dalam satu urus niaga yang boleh menjana sehingga AS$2 bilion (RM6 bilion), manakala Maxis Communications yang dikuasainya baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G bersama syarikat pesaingnya, UMobile.

Di tempat ketiga ialah Puan Sri Lee Kim Hua, iaitu isteri kepada pengasas kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong serta keluarga yang nilai kekayaan bersihnya susut 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion (RM19.5 bilion).
Keluarga yang menjadi tulang belakang empayar Genting itu sedang menjadi bahan berita berikutan beberapa cubaan berprofil tingginya untuk mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat (AS).

Tan Sri Lee Chin Seng, individu yang membina IOI Group menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia pula mengekalkan kedudukannya di tempat keempat dengan nilai bersih AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion), meningkat AS$200 juta (RM600 juta) daripada tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berada di tempat ketujuh, mengekalkan kedudukannya sebagai orang Melayu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$3.3 bilion (RM9.9 bilion).

Tiga pendatang baru membuat kemunculan sulung dalam senarai itu, dengan paling menyerlah ialah Tan Sri Dr Ninian Mogan Lourdenadin, seorang doktor bertauliah yang menjadi hartawan peruncitan yang menduduki tempat ke-22 dengan nilai kekayaan bersih AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Beliau adalah Ketua Eksekutif MBF Holdings dan mempunyai perniagaan dalam hartanah, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia, Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ialah Gooi Seong Lim, di tempat ke-34 dengan kekayaan bersih AS$220 juta (RM660 juta). Beliau menerajui Crescendo, sebuah syarikat pembinaan dan pemaju hartanah.

Ng Joo Siang, usahawan berusia 52 tahun yang mengambil alih perniagaan keluarga, Pacific Andes International Holdings daripada bapanya juga membuat kemunculan sulung dalam senarai itu dengan berada di tempat ke-37 dengan nilai bersih AS$185 juta (RM555 juta).

Dua individu pula membuat kemunculan semula iaitu Pengerusi Eksekutif Kurnia Asia Bhd, Tan Sri Kua Sian Kooi dan Pengerusi Malayan United Industries Bhd, Tan Sri Dr Khoo Kay Peng.

Rakyat Malaysia terbaru yang memasuki kelompok individu dunia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion pula ialah adik beradik Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian yang menguasai syarikat sawit dan kimia, Batu Kawan.

Secara keseluruhannya, 21 daripada jutawan Malaysia dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat, 12 menyusut, manakala dua orang tidak berubah.

Tahun ini, nilai bersih minimum yang diperlukan untuk layak dalam senarai itu ialah AS$155 juta (RM465 juta), meningkat daripada AS$125 juta (RM375 juta) tahun lalu.

Tun Mahathir gesa DRB-HICOM transformasikan PROTON



KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd disaran supaya mengubah Proton Holdings Bhd dan meninjau cara-cara untuk memulihkan kerugian fiskal semasa syarikat berkenaan.

Ketika membuat saranan berkenaan, bekas Perdana Menteri dan penasihat kepada pembuat kereta nasional itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengurusan baru selepas pengambilalihan, yang dijadualkan siap bulan ini, perlu membawa syarikat automotif negara itu ke era kegemilangannya.
"Jelas sekali, anda (DRB-Hicom) perlu meningkatkan organisasi, meneliti semua kerugian untuk melihat bagaimana anda boleh memulih kerugian. "Secara umumnya, syarikat baru perlu melihat semua aspek pengurusan Proton kerana ia lemah dalam semua sudut," kata Dr Mahathir kepada Bernama dalam satu temu bual.

Kerugian sebelum cukai pembuat kereta nasional meningkat kepada RM84.054 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember, 2011 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM51.535 juta pada tempoh yang sama pada 2010.

Pendapatan untuk tempoh berkenaan juga berkurangan kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya.

Perolehan bagi tempoh sembilan bulan pertama juga susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion berdasarkan kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM36.530 juta daripada keuntungan pra-cukai sebanyak RM134.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Mengenai ketua baru Proton, Dr Mahathir berkata ia terpulang kepada DRB-Hicom sama ada untuk menamakan pengganti baru atau untuk mengekalkan pengurusan lama.

Semasa ditanya sama ada Proton boleh mencapai semula era kegemilangannya dengan pengurusan lama di bawah induk baharu, Dr Mahathir berkata: "Jelas sekali, mungkin terdapat beberapa input baru daripada DRB-Hicom. Yang pasti ia bukan membeli Proton dan membiarkannya begitu sahaja. "

Beliau berkata aspek keuntungan kurang daripada pengurusan semasa di bawah kepimpinan Pengerusi Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed.

"Mereka (Proton) tidak membuat keuntungan. Perniagaan mesti membuat keuntungan. Jadi kita mesti mengetahui mengapa mereka tidak meraih untung," kata Dr Mahathir.

Pada Januari 2012, DRB-Hicom berjaya membeli 42.7 peratus pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam Proton pada RM1.29 bilion atau RM5.50 sesaham.

DRB-Hicom dijangka menjadikan Proton syarikat persendirian secara rasmi hujung bulan ini, selepas selesai peraturan pengambilalihan tertentu.

Pembinaan insinerator di KL melalui tender terbuka



LENGGONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan supaya tawaran pembinaan insinerator di Kuala Lumpur dengan jangkaan kapasiti antara 800 tan dan 1,000 tan sampah dibuka secara tender terbuka kepada kontraktor tempatan dan luar negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata pembinaan insinerator itu bagi menampung keperluan pelupusan sisa pepejal yang semakin mendesak di ibu negara dan kontraktor yang mempunyai keupayaan dalam teknologi berkenaan boleh menghantar tender serta kertas cadangan mereka kepada kerajaan.
"Perdana Menteri telah menetapkan supaya tawaran (pembinaan insinerator) diberi secara tender terbuka. Kita beritahu sedunia, kita mahu kriteria yang kita mahukan, jadi sila hantar tender. Kita akan kaji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Dataran Lenggong di sini hari ini.
Beliau berkata apabila semua tender diterima dan ditutup, pakar yang berkenaan akan mengkaji semula tawaran kontraktor bagi mengenal pasti teknologi yang terbaik dan meneliti kos pembiayaan.

Katanya berdasarkan lawatannya ke dua negara, pembinaan insinerator bagi pelupusan sampah yang berada tidak jauh dari bandar dengan kapasiti 800 tan hingga 1,000 tan sampah sehari memerlukan kos pembiayaan tidak kurang RM500 juta.

Beliau berkata penggunaan insinerator berteknologi tinggi seperti yang diguna pakai di Korea Selatan, Jepun dan Singapura didapati tidak akan memberi kesan tidak sihat kepada rakyat.

Chor berkata setakat ini negara mempunyai empat insinerator iaitu di Langkawi, Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highlands manakala insinerator di Labuan akan dibina tidak lama lagi.
Beliau turut berharap kerajaan negeri Perak akan menyertai pengurusan sisa pepejal yang diuruskan oleh kerajaan Persekutuan supaya mempunyai satu sistem mampan.

Pada 20 September tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan berunding dengan kementerian itu bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pengurusan sisa pepejal kerana ada beberapa terma mengenai perkara teknikal yang ditetapkan kerajaan negeri tidak secocok dengan terma-terma penswastaan.

Dalam perkembangan lain, Chor berkata kementeriannya memperuntukkan RM26.25 juta kepada pihak berkuasa tempatan negeri Perak bagi tahun ini termasuk melalui Geran Tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar bagi tujuan pelaksanaan 124 projek.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...