Tuesday 17 January 2012

DRB-Hicom beli Proton RM3 billion



KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd, konglomerat yang dimiliki usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dipilih untuk mengambilalih Proton Holdings Bhd (Proton Holdings) dalam satu janji niaga yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion.

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings kepada DRB-Hicom Bhd pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.
Harga itu mewakili premium 6.2 peratus berbanding harga saham Proton Holdings pada penutup dagangan di Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, sebanyak RM5.18 sesaham.
Selepas selesai proses jual beli berkenaan, DRB-Hicom akan membuat tawaran awam mandatori (MGO) bagi baki saham Proton Holdings yang masih belum dimilikinya.

Selain DRB-Hicom, Khazanah sebelum ini menerima tawaran pengambilalihan daripada Pengerusi Proton Holdings sendiri, iaitu Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh. Turut dikatakan membuat tawaran adalah Kumpulan Syarikat Naza (NAZA) dan kumpulan Tan Sri Arumugam Apavoo Packiri dan Gerald Lopez.

Walaupun harga MGO belum dimuktamadkan, namun Ketua Penyelidik OSK Research, Chris Eng menjangkakan DRB-Hicom akan membuat MGO pada harga pembeliannya, iaitu RM5.50 sesaham berikutan ia adalah paras harga tertinggi dalam janji niaga itu.

Mengambil kira kos bagi MGO itu, DRB-Hicom dijangka perlu membelanjakan lebih daripada RM3 bilion bagi pengambilalihan berkenaan. Selain Khazanah, pemegang saham utama lain Proton Holdings ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 10.72 peratus dan PETRONAS (7.85 peratus).
Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata penjualan pemilikan sayap pelaburan kerajaan itu dalam Proton Holdings kepada DRB-Hicom, diputuskan selepas proses penilaian terperinci bagi memastikan pemegang saham baru pengeluar kereta nasional itu mampu membawanya ke tahap pertumbuhan strategik seiring dengan aspirasi kerajaan meningkatkan lagi sektor automotif nasional.

Katanya, DRB-Hicom juga dikenal pasti sebagai pihak yang paling sesuai mengambilalih kepentingan Khazanah dalam Proton Holdings berdasarkan penilaian cadangan menyeluruh, selain menawarkan strategi perniagaan yang jelas dan boleh dilaksanakan.

Khazanah melaksanakan penilaian secara komprehensif terhadap cadangan yang diterima. Ia termasuk penilaian berdasarkan beberapa kriteria utama, iaitu keupayaan kewangan dan sumber melaksanakan pengambilalihan, sumber untuk meneruskan pelaburan dalam perniagaan, menggalakkan transformasi menyeluruh industri automotif Malaysia melalui Proton Holdings dan rantaian nilainya serta komitmen untuk mengekalkan integriti operasi Proton Holdings dan ekosistem industri.

“Komitmen ini penting kerana sebagai pengeluar kereta nasional, Proton Holdings mempunyai pengaruh dan kesan yang amat besar kepada keseluruhan rantaian nilai sektor automotif negara,” katanya.

Azman berkata, cadangan DRB-Hicom turut memperlihatkan kelebihan dan kewibawaan kumpulan itu dalam memiliki rangkaian perkongsian strategik dalam sektor automotif tempatan dan antarabangsa

Cari gali semula minyak terbesar



PUTRAJAYA: Petronas dan Shell Malaysia semalam menandatangani kontrak projek cari gali semula minyak menggunakan teknologi dipertingkatkan (EOR) di Delta Baram dan Utara Sabah, bernilai AS$12 bilion (RM37.2 bilion) bagi tempoh 30 tahun akan datang, iaitu projek EOR terbesar di dunia.

Projek di luar pesisir pantai Sarawak dan Sabah itu dilaksanakan secara usaha sama antara anak syarikat Petronas dan Shell Malaysia (Shell), termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali), Sarawak Shell Berhad (SSB), Sabah Shell Petroleum Co Ltd (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn Bhd (SSS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir pada majlis menandatangani projek itu, berkata ia akan memberi manfaat kepada negara dari segi membangunkan keupayaan teknologi tempatan, meningkatkan purata keupayaan cari gali minyak di Delta Baram dan Utara Sabah daripada 36 peratus kepada 50 peratus dan melanjutkan jangka hayat sumber sehingga melepasi 2040.
“Penambahbaikan teknologi cari gali minyak ini dijangka memberi kesan positif kepada rizab minyak Malaysia dan memanfaatkan negara secara keseluruhan. Saya dimaklumkan teknologi yang diguna pakai di Utara Sabah berpotensi menjadi projek EOR Alkaline Surfactant Polymer (ASP) luar pesisir pantai yang pertama di dunia menggunakan konsep penggerudian telaga melintang.

“Sehubungan itu, saya harap pengalaman Petronas dan kemahiran teknologi EOR Shell serta komitmen kedua-dua pihak akan membawa faedah besar kepada pembangunan perindustrian negara,” katanya.

Perdana Menteri menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif Royal Dutch Shell Plc, Peter Voser; dan Presiden Petronas Carigali, Datuk Abdullah Karim menurunkan tandatangan mewakili syarikat masing-masing bagi memeterai kontrak berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif Penerokaan dan Pengeluaran Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin; Pengarah Urusan dan Pengerusi Shell Malaysia, Anuar Taib dan Naib Presiden Pengeluaran Malaysia, Petronas Carigali, Mohamad Johari Dasri menurunkan tandatangan selaku saksi bagi syarikat masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan mengiktiraf projek EOR yang memberi nafas baru kepada telaga minyak sedia ada itu sebagai satu daripada 19 Projek Permulaan (EPP) bagi memberi bekalan tambahan kepada keperluan tenaga dan perindustrian, selain menjana pertumbuhan organik dalam sektor minyak dan gas.

Perdana Menteri menjelaskan, sektor minyak, gas dan tenaga menjadi tonggak pertumbuhan negara yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) nasional.

Bagaimanapun, katanya, dengan kemungkinan terpaksa mengurangkan pengeluaran daripada rizab aset yang matang itu, kerajaan terpaksa meneroka peluang lebih luas merangkumi pelbagai sektor bagi mencapai sasaran pertumbuhan tahunan, selain menyediakan sumber tenaga mapan.

Dalam kenyataan akhbar Shell Malaysia, perjanjian membabitkan PSC bagi menambahbaik dua sumber minyak sedia ada di pusat operasi Delta Baram dan Utara Sabah yang kini menggunakan teknik cari gali dan perlombongan konsep lama sejak berdekad lalu.

Mengikut kontrak baru pula, Shell dan Petronas Carigali akan membangunkan enam lagi sumber minyak di Delta Baram dan tiga sumber minyak di Utara Sabah menggunakan kaedah EOR dan teknologi berkaitan yang sesuai.

Sementara itu, Shamsul, berkata masa depan pasaran minyak mentah dan gas global sudah tidak menentu dan ketandusan sumber baru memaksa persaingan bagi mengurangkan kos operasi serta meningkatkan penemuan hidrokarbon, selain menambah pengeluaran daripada sumber minyak sedia ada.

“Delta Baram dan Utara Sabah terletak dalam kelompok sumber minyak terbesar di Malaysia, masing-masing dengan simpanan minyak mentah 4.6 juta tong dan 1.6 juta tong,” katanya.

Sunday 15 January 2012

Pemilik baru kepentingan Khazanah bagi Proton diketahui minggu depan


KUALA LUMPUR: Dengan keputusan berhubung pemilik baru kepentingan 42.7 peratus Khazanah Nasional dalam Proton Holdings Bhd dijangka diketahui awal minggu depan.

Wujud kebimbangan mendalam di kalangan peserta industri yang langkah itu akan memberi kesan terhadap perkembangan industri automotif negara.

Antaranya, program vendor yang membabitkan ramai peserta.
Mereka berpendapat, pemegang saham baru seharusnya terus mendapatkansumber luar bagi pembuatan bahagian dan komponen untuk kenderaan Proton.

Ia dilakukan Proton sejak penubuhannya, sekali gus berjaya menggerakkan
kerancakan industri automotif dalam negara.

"Sekiranya pemegang saham baru ini mempunyai unit pembuatan membabitkan
bahagian dan komponen pembuatan, mereka sepatutnya melepaskan unit itu atau tidak patut terbabit dalam bidang ini untuk kenderaan Proton.

"Terdapat banyak vendor yang terbabit dalam pembuatan komponen dan bahagian untuk kenderaan Proton," demikian menurut sumber industri.

Sumber yang lain pula berkata, Proton sebagai satu jenama Asia memerlukan
seseorang yang berpengetahuan mendalam mengenai perniagaannya dan bukan setakat
hanya memiliki keupayaan dari segi kewangan.

"Ia adalah projek kereta nasional. Proton perlukan satu sentuhan peribadi.
Kita mesti betul-betul faham sifat perniagaan Proton. Ia adalah jenama Asia,"
tegas beliau.

Beliau juga berkata, pemegang saham baru perlu mempunyai rancangan pengembangan untuk pasaran eksport Proton.

Proton mengeksport 20,000 kenderaan ke 25 negara termasuk Timur Tengah, Australia dan negara ASEAN.

Sumber industri berkata, pemegang saham baru perlu mempunyai kapasiti bukan saja memulihkan prestasi kewangan Proton tetapi membawa syarikat pembuat kereta negara itu ke puncak yang lebih tinggi.

Untung bersih Proton jatuh kepada RM20.1 juta untuk tempoh enam bulan
berakhir 30 September 2011 daripada RM150.6 juta bagi tempoh sama
sebelumnya.

Untung bersih untuk suku kedua ialah RM15.5 juta berbanding RM65.9 juta dalam suku kedua tahun kewangannya yang sebelum ini.

Sumber itu turut merasakan berlaku kurang ketelusan dalam proses membuat keputusan berhubung pemegang saham baru kepentingan Khazanah.

"Jika Khazanah mahu menukar rakan niaga untuk Proton, sudah tentu ada
kepimpinan baharu untuk syarikat itu. Ia seharusnya telus mengenai pihak
yang terbabit," katanya.

Antara pihak yang mengemukakan cadangan bagi kepentingan 42.7 peratus itu termasuklah DRB-Hicom Bhd dan pengerusi Proton Holdings, Datuk Seri Mohd
Nadzmi Salleh.

Dipercayai bidaan Mohd Nadzmi bukan yang paling rendah berbanding pembida yang lain.

Rancangan Mohd Nadzmi termasuklah mentransformasikan Proton menjadi sebuah
syarikat peserta global, bermula dengan model dengan nama kod "P3-21A" yang
akan mentransformasikan DNA Proton.

Mohd Nadzmi juga akan meninjau kembali pasaran eksport untuk Proton sambil menamakan China, Iran, India dan negara ASEAN sebagai pasaran berpotensi untuk pembuat kereta negara itu.

Beliau juga berkata, terdapat lebih banyak kerjasama dengan Mitsubishi Motors Corp yang berminat untuk berkongsi mekanisme kenderaan elektriknya dengan Proton.

Beliau juga merancang menjadikan Proton syarikat persendirian dalam usaha
menstrukturkan keseluruhan pertubuhan itu.

Mohd Nadzmi dilantik pengerusi Proton pada 1 Januari 2009, dan adalah pengerusi lembaga pelbagai anak syarikat dalam lingkungan kumpulan syarikat Proton.

Beliau adalah pengarah urusan Perusahaan Otomobil Nasional Bhd dari 1993 sehingga 1996.

Beliau juga adalah pengurus di Jabatan Perkhidmatan Pasaran Edaran
Otomobil Nasional Bhd pada 1984 dan kemudiannya menjawat jawatan Pengarah
Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

DRB-Hicom, bagaimanapun, tidak mendedahkan rancangannya untuk Proton
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...