Wednesday 30 November 2011

Drogba buru gaji lumayan di Qatar



LONDON: Penyerang Chelsea, Didier Drogba sedia meninggalkan kelab London itu penghujung musim ini selepas menolak perpindahan ke AC Milan, Januari depan.

Drogba, 33, yang kini pada musim terakhirnya dengan gaji 120,000 pound (RM593,278) seminggu, bertindak menolak lanjutan kontrak 12 bulan bersama Chelsea, musim depan.

Jika situasi itu berterusan, Drogba bakal meninggalkan Stamford Bridge secara percuma pada hujung musim ini dengan kemungkinan menerima tawaran lumayan kelab Russia atau Qatar.
“Drogba ditawarkan lanjutan kontrak selama setahun oleh Chelsea tetapi itu tidak menepati kehendak kami. Apa yang kami mahukan, Drogba berhijrah dengan melihat tawaran yang diterima.

“Milan mahukan Drogba secara pinjaman Januari depan dengan pilihan melakukan pembelian tetap selepas itu tetapi saya menolaknya kerana tawaran itu tidak menarik.

“Pada usia Drogba ini, dia tidak perlu lagi membuktikan sesuatu. Dia akan menerima tawaran mana yang lebih tinggi,” kata ejen pemain itu, Thierno Seydi yang berpangkalan di Senegal.

Selain Russia dan Qatar, Seydi membayangkan kemungkinan Drogba bersedia menerima tawaran daripada kelab Asia atau Amerika Syarikat.
Drogba ditandatangani Chelsea daripada Marseille pada 2004 ketika era Jose Mourinho dan meledak 146 gol sepanjang tujuh musim bersama kelab London itu.

Sunday 20 November 2011

Gila permainan video sama seperti berjudi



BERLIN: Remaja yang menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video berkemungkinan mempunyai struktur otak sama dengan kaki judi, kata satu kajian yang dipetik akhbar Daily Mail. 

Kajian itu menyatakan imbasan otak menunjukkan mereka yang bermain lebih sembilan jam seminggu mengeluarkan lebih banyak bahan kimia dopamin dengan perasaan keseronokan.
Akhbar Korean Times melaporkan kajian terbaru mendapati otak pemain permainan komputer yang diimbas mempunyai ventral striatum lebih besar, sistem ganjaran utama dalam otak depan.
Hasil kajian itu didedahkan dalam penyelidikan hubungan antara tempoh permainan dan struktur otak oleh kumpulan penyelidik antarabangsa terhadap 154 pelajar di Jerman berusia 14 tahun termasuk 72 pelajar lelaki, menurut jurnal online Translation Psikiatrik. 

“Striatum lazimnya diaktifkan apabila seseorang itu mendapat kesan positif persekitaran atau pengalaman menyeronokkan seperti memenangi wang, makanan enak dan seks,” kata Dr Simone Kuhn dari Universiti Ghent Belgium dalam temuramah dengan BBC

Wednesday 16 November 2011

Telaga minyak baru ditemui di Sabah



MALAYSIA memperoleh rizab minyak tambahan sebanyak kira-kira 227 juta tong susulan penemuan terbaru PETRONAS di kawasan luar pantai Sabah.
Setakat 1 Januari tahun ini, negara dianggarkan memiliki rizab minyak berjumlah 5.8 bilion tong yang hanya mampu bertahan untuk tempoh antara 18 hingga 20 tahun lagi.
Dengan penemuan terbaru oleh PETRONAS itu, ia mencadangkan kemungkinan wujudnya prospek bagi pertumbuhan pengeluaran di telaga minyak barunya yang mana syarikat minyak nasional itu kini turut membuat pelaburan yang besar bagi menyelesaikan masalah penyusutan pengeluaran di telaga minyak lamanya.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, penemuan itu dibuat anak syarikat milik penuhnya, iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd di telaga Wakid-1 dalam Blok 2G-2J, terletak kira-kira 100 kilometer di timur laut Kota Kinabalu.

Simpanan minyak itu ditemui ketika pasukan cari gali melakukan kerja pencarian dan penggerudian yang bermula pada 30 Mei hingga 4 Julai lalu.

Katanya, penggerudian secara menegak yang mencapai kedalaman 3,330 meter itu mengesahkan kehadiran simpanan minyak yang banyak selain kewujudan takungan gas.
“Tiga ujian pengeluaran telah dijalankan dalam tiga takungan berbeza yang mengalir minyak pada kadar maksimum membabitkan jumlah terkumpul sebanyak 8,200 tong sehari.

“Berdasarkan anggaran awal, jumlah hidro karbon yang boleh dikeluarkan di kawasan penemuan ini adalah berjumlah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe) dengan potensi lebih banyak,” katanya.

PETRONAS berkata, Petronas Carigali merancang untuk terus menilai potensi penemuan berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Wakid-1 adalah telaga kedua di Blok 2G-2J sejak Kontrak Perkongsian Pengeluarannya (PSC) diberikan pada Oktober 2010.

Telaga pertama blok itu, Tambuku-1, telah digerudi awal tahun ini tetapi hanya menunjukkan kehadiran penemuan gas yang kecil jumlahnya.

Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal PSC bagi blok itu.

Dalam usaha menambahkan jumlah rizab minyak negara, PETRONAS, minggu lalu, turut mengumumkan kerjasama dengan Royal Dutch Shell membabitkan pelaburan bersama berjumlah AS$12 bilion (RM37.68 bilion) bagi membangunkan dua projek penemuan minyak dipertingkatkan (EOR) di luar pesisir Sarawak dan Sabah.

Kedua-dua projek dikenali sebagai Baram Delta dan North Sabah itu dijangka mampu menyumbang pertambahan pengeluaran antara 90,000 hingga 100,000 tong minyak sehari.

Friday 4 November 2011

PROTON harap kerajaan kaji dasar insentif kenderaan elektrik



SURREY (Britain): Pembuat kereta nasional Malaysia, Proton Holdings Bhd, berharap kerajaan akan mengkaji dasar insentif atau menawarkan rebat bagi kenderaan elektrik (EV) untuk menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada EV.

Pengarah Projek Jabatan Teknologi Hijau syarikat, Datuk Zainuddin Che Din, berkata kos pemilikan kenderaan adalah antara cabaran dalam pelaksanaan EV atau inisiatif kenderaan hibrid.
Beliau berkata, Pasukan Projek Hijau bekerjasama dengan Frazer-Nash Research Ltd yang berpangkalan di United Kingdom untuk membangunkan Proton Saga EV dan Proton Exora Extended Range EV (REEV) yang dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2013.
Ketika memberi contoh, beliau berkata, kerajaan Amerika Syarikat menyediakan AS$7,500 cukai kredit, kerajaan China memberikan subsidi sehingga AS$8,800 bagi pembelian kenderaan bahan api alternatif dan Geran Kereta UK Plug-in menawarkan 25 peratus diskaun sehingga maksimum £5,000 untuk kereta baru.

Zainuddin berkata, terdapat kekurangan kesedaran mengenai faedah dan kelebihan di Malaysia untuk kenderaan EV dan kos yang agak tinggi daripada kenderaan biasa.

"EV atau lebih dikenali sebagai industri hibrid masih baru di kalangan rakyat Malaysia dan harga akan lebih tinggi disebabkan oleh kos pemerolehan teknologi tinggi dan kos yang tinggi bagi stesen pengecas," katanya selepas taklimat media Malaysia mengenai kemajuan rancangan kereta elektrik Proton.

Pada taklimat media itu, Zainuddin berkata, EV akan menjadi lebih murah untuk beroperasi tetapi pembelian akan mahal, (oleh itu) ia adalah penting untuk menggalakkan pertumbuhan industri.
Beliau berkata, insentif atau rebat akan menjadi salah satu cara untuk menarik rakyat Malaysia membeli EV yang akan memberi kesan besar untuk mewujudkan kesedaran di masa depan.

Exora REEV mempunyai penjana untuk mengecas semula enjin yang dipacu bateri dan Proton Saga EV pula semata-mata berkuasa bateri.

Mengenai permintaan, Zainuddin berkata, jika kerajaan menarik balik subsidi bahan api, penggunaan petrol akan kurang berbanding kepada kuantiti petrol sebelum ini pada harga sama.

"Oleh itu, permintaan untuk EV dijangka meningkat kerana orang ramai mungkin akan mengkaji untuk beralih kepada EV dan insentif akan menggalakkan mereka lagi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...