Sunday 31 July 2011

Artik tiada ais menjelang 2030



COLORADO: Lautan ais di Artik dilaporkan cair pada kelajuan tertinggi pada tahun ini, menunjukkan kenaikan suhu di Kutub Utara semakin meningkat menyebabkan sebahagian besar kawasan Artik diramalkan tiada lagi ais 30 tahun lagi.
Menurut pemantauan satelit Pusat Data Ais dan Salji Kebangsaan Amerika Syarikat (NSIDC), hanya 15 peratus kawasan Artik diselaputi ais baru-baru ini, iaitu seluas 8.5 kilometer persegi, kadar paling rendah berbanding rekod sebelumnya yang dibuat pada 2007.

Selain itu, data terbaru Pusat Sains Pola Universiti Washington menunjukkan ketebalan ais kawasan Artik tahun ini juga adalah yang paling nipis.
Pengarah NSIDC, Mark Serreze, berkata sejak dua minggu lalu laut Artik kehilangan 150,000 kilometer persegi kawasan berais sehari.

“Kadar ais yang menutupi kawasan semakin berkurangan dan pada masa sama semakin menipis. Keadaan cuaca yang sebelum ini mencairkan ais menyebabkannya cair lebih pantas.

“Keadaan boleh berubah tetapi proses itu akan berterusan sehingga tiada lagi ais di Artik menjelang 2030. Kecairan ais akan berterusan,” kata Serreze.
Pemanasan global mencairkan ais Artik sejak 30 tahun lalu pada kadar tiga peratus setiap dekad secara purata. Tetapi dua data baru menunjukkan bahawa Artik yang bebas ais boleh menjadi kenyataan dalam masa 30 tahun, jika ia berterusan.

Ia adalah 40 tahun lebih awal daripada yang dijangkakan dalam penilaian laporan terakhir Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Lautan ais yang berada pada tahap maksimum pada Mac dan paling rendah dalam September setiap tahun disifatkan ‘keadaan yang membimbangkan’ bagi perubahan iklim kerana cuaca kutub semakin panas lebih cepat berbanding tempat lain di Bumi.

Berdasarkan NSIDC, suhu udara bagi Jun 2011 adalah antara 1 dan 4 darjah Celsius lebih tinggi kepanasannya berbanding kebanyakan tempat lain di Artik.

Keputusan itu menyokong kajian dalam jurnal sains baru-baru ini yang mengatakan bahawa aliran air dari Atlantik ke laut Artik adalah lebih panas hari ini berbanding 2,000 tahun dan boleh menjadi satu penerangan kepada kecairan lautan ais besar-besaran sekarang yang dipantau.

Simulasi komputer oleh NASA menunjukkan bahawa kecairan ais Laut Artik tidak akan berterusan secara tetap. Berbanding dengan 1950-an, lebih separuh ais Laut Artik sudah hilang.

Pengasas halaman web pemantauan iklim Weather Underground, Jeff Masters, berkata satu sistem tekanan tinggi berpusat di utara Alaska menyebabkan langit cerah dan sinaran matahari mencairkan ais Artik.

“Gabungan tindakan udara mengikut aliran jam di sekitar kawasan tinggi tinggi dan melawan arah jam di seluruh sistem tekanan rendah berhampiran pantai barat Siberia menyebabkan panas, angin selatan ke Artik yang mendesak ais jauh dari pantai Siberia, menggalakkan pencairan,” katanya.

Saturday 30 July 2011

Penduduk Malaysia kini 28.3 juta



PUTRAJAYA: Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Nor Mohamed berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

"Tidak seperti laporan terdahulu di mana ia telah memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci," katanya.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Nor Mohamed berkata Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478).
Katanya seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Beliau berkata selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi ialah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing 91.4 dan 90.8 peratus.

Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah pula ialah Kelantan sebanyak 42.4 peratus, Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4), katanya.
Nor Mohamed berkata daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

Di kalangan warganegara Malaysia, katanya, Melayu adalah etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah.

Friday 29 July 2011

Loji kimia Oleo dibina di Lahad Datu


SANDAKAN 28 Julai - Sebuah Loji Kimia Oleo pertama di Sabah bakal dibina di atas tapak seluas lapan hektar di kawasan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu dekat sini, membabitkan pelaburan lebih RM500 juta oleh sebuah syarikat negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pembinaan loji berkenaan merupakan antara inisiatif yang mampu membantu kerajaan negeri mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai penyumbang utama dalam sektor minyak sawit hiliran.
Menurut beliau, sejak tujuh tahun lepas, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memaksimumkan kelebihan sebagai pengeluar terbesar kelapa sawit mentah di negara ini termasuk menerusi pembinaan dua POIC di Lahad Datu dan Seguntor, Sandakan.
"Di POIC Lahad Datu sahaja, sehingga kini kita telah menerima pelaburan kira-kira RM3 bilion dan ditambah lagi dengan pembangunan Loji Kimia Oleo ini.
"Kita percaya, lebih banyak minyak yang boleh disimpan untuk diproses, lebih besar kesan ekonomi kelapa sawit ke atas ekonomi negeri dan seterusnya mewujudkan banyak peluang perniagaan serta pekerjaan berkualiti untuk rakyat," katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan dan Pameran PALMEX 2011 di di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Lebih 50 syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan industri kelapa sawit menyertai Persidangan dan Pameran PALMEX 2011 yang diadakan bermula semalam dan berakhir esok.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Hashim Paijal dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Ir. James Wong.
Musa berkata, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam aspek sektor hiliran berikutan negeri ini merupakan pemain utama dalam penanaman dan pengeluaran minyak sawit di Malaysia mahupun di kawasan serantau.

PROTON yakin kuasai pasaran


PROTON Holdings Bhd, yakin dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran kenderaan penumpang tahun ini, dan kini akan memberi penekanan lebih hebat terhadap kepuasan penggunanya.

Berikutan itu, pengeluar kereta nasional itu mahu lebih konsisten dari aspek mutu pengeluaran model barunya, terutama menjelang persiapannya untuk mengeluarkan kereta global sulungnya, P3-21A awal tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata syarikat itu sangat berpuas hati dengan pencapaian enam bulan pertama tahun ini yang menyaksikan PROTON menguasai 32 peratus pasaran domestik dengan menjual kira-kira 85,000 unit kenderaan sepanjang tempoh itu.

“Kami gembira dengan kedudukan itu, tetapi mahu meneruskan pencapaian sedemikian dengan cara meningkatkan tahap kualiti setiap model baru ditampilkan PROTON.

“Ia sejajar dengan kedudukan semasa syarikat yang menyaksikan meningkatnya penerimaan terhadap jenama PROTON berbanding beberapa tahun lalu, justeru kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami selepas ini,” katanya selepas melancarkan sambutan ‘1 Perayaan Proton’ sempena menyambut kedatangan Ramadan, Syawal, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Subang Jaya, semalam.

Syed Zainal Abidin berkata, berikutan meningkatnya penerimaan pengguna ke atas jenama PROTON, kumpulan itu kini menerapkan slogan baru iaitu ‘Komited Menjadi Lebih Baik’ sebagai teras memenuhi kehendak pelanggan.

“Kita tidak saja mahu menjadi nombor satu dari segi kuantiti tetapi mahu menjadi nombor satu dari segi kualiti,” katanya.
Terbaru, katanya PROTON menerima maklum balas cukup memberangsangkan terhadap pelancaran model baru dipertingkatkan iaitu Saga FLX.

“Berdasarkan maklum balas selama dua hari ini, kami menerima pujian kerana menunjukkan komitmen untuk memenuhi permintaan pengguna dengan memperkenalkan teknologi baru yang menjimatkan penggunaan bahan bakar,” katanya.

Mengenai persediaan ke arah memperkenalkan kereta global sulung PROTON, Syed Zainal Abidin berkata, syarikat itu akan memastikan tujuh nilai teras akan diterapkan pasukan pengurusan dan kakitangannya menjelang pengeluaran pertama pada Februari tahun depan.

Tujuh nilai teras itu katanya ialah kualiti, fokus pelanggan, inovasi, kerja berpasukan, kepantasan, keprihatinan dan jujur.

Model kereta global sulung PROTON itu difahamkan adalah daripada model Proton Tuah iaitu satu daripada kereta konsep yang ditampilkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS) akhir tahun lalu.

Model itu adalah kereta konsep sedan baru yang dikatakan menggantikan pengeluaran kereta Proton Persona serta berada pada kelas sama seperti model kereta Toyota Corolla Altis atau Honda Civic.

Berikutan minat tinggi yang ditunjukkan pengguna ke atas kereta konsep berkenaan, PROTON akan menampilkan semula barisan kenderaan itu yang terdiri daripada siri Pahlawan (Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi), Emas, Saga EV dan Exora REEV pada perarakan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

PETRONAS temui telaga gas baru


PETRONAS membuat dua penemuan penting gas asli di kawasan air cetek luar pantai barat Sabah, yang berpotensi meningkatkan lagi bekalan sumber itu bagi memenuhi permintaan domestik.

Malaysia adalah pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar selepas Qatar pada 2009, namun jatuh ke tangga ketiga selepas Indonesia tahun lalu berikutan penurunan pengeluaran daripada lapangan gas yang uzur.
Sementara itu, peningkatan permintaan daripada loji tenaga turut menggugat jumlah eksport gas negara, justeru menyebabkan syarikat minyak nasional meningkatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran daripada lapangan domestik serta menambah pegangan dalam projek minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

PETRONAS membuat dua penemuan penting gas asli di kawasan air cetek luar pantai barat Sabah, yang berpotensi meningkatkan lagi bekalan sumber itu bagi memenuhi permintaan domestik.

Malaysia adalah pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar selepas Qatar pada 2009, namun jatuh ke tangga ketiga selepas Indonesia tahun lalu berikutan penurunan pengeluaran daripada lapangan gas yang uzur.
Sementara itu, peningkatan permintaan daripada loji tenaga turut menggugat jumlah eksport gas negara, justeru menyebabkan syarikat minyak nasional meningkatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran daripada lapangan domestik serta menambah pegangan dalam projek minyak dan gas di peringkat antarabangsa.
Awal minggu ini, PETRONAS juga telah memeterai perjanjian awal dengan Qatargas untuk membekalkan kepada syarikat itu 1.5 juta tan LNG setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Perkara itu memberikan gambaran peralihan Malaysia daripada menjadi negara pengeksport bahan api itu kepada pengimport dalam usaha memenuhi permintaan loji tenaganya yang berkembang pada kadar enam peratus setahun.

Dalam satu kenyataan semalam, PETRONAS berkata penemuan pertama adalah di telaga Zuhai East-1, yang terletak di Blok Samarang Asam Paya, kira-kira 130 kilometer di barat daya Kota Kinabalu.

“Anggaran semasa kandungan gas di kawasan itu adalah 550 bilion kaki padu standard (bscf),” katanya.
Pada masa sama, katanya, satu takungan yang sama di telaga berdekatan kira-kira lima kilometer ke timur dari kawasan penemuan Zuhai East diuji mengandungi aliran gas pada kadar maksimum 21 juta bscf sehari.

PETRONAS Carigali ialah pemegang ekuiti tunggal kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok Samarang Asam Paya itu.

Sementara itu, penemuan kedua pula adalah di telaga Menggatal-1 ditemui di Blok SB312, kira-kira 110 kilometer ke timur laut Kota Kinabalu.

“PSC Blok SB312 itu adalah usaha sama antara PETRONAS Carigali yang memegang ekuiti 60 peratus dan KUFPEC Malaysia (SB 312) Ltd, iaitu satu anak syarikat Kuwait Foreign Petroleum Exploration Co, yang memegang baki kepentingannya, " katanya.

Thursday 28 July 2011

Chery Alado Automobile labur RM300j



CHERY Alado Automobile Sdn Bhd bercadang melabur RM300 juta bagi membina kilang pemasangan kenderaan jenama Chery di negara ini.

Selain untuk pasaran tempatan, kenderaan yang akan dipasang di kilang itu akan turut dieksport ke pasaran Indonesia serta Thailand, sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab bagi pemasangan kenderaan jenama China itu di Asia Tenggara.
Ketua Eksekutif Chery Alado Automobile, Paul Ng, berkata syarikat itu sudah mengemukakan cadangannya bagi pembinaan kilang itu kepada kerajaan dan sedang menunggu kelulusan.


“Kami sudah menghantar cadangan kepada kerajaan dan sedang menunggu keputusannya. Pada masa sama, kami turut meninjau kawasan yang sesuai untuk tapak kilang itu,” katanya ketika taklimat kepada media bagi mengumumkan perkara itu di Petaling Jaya, semalam.

Ng berkata, pemilihan Malaysia sebagai pusat bagi pemasangan kenderaan Chery dengan kapasiti enjin 1,800cc ke atas itu didorong oleh beberapa faktor yang menarik dan meyakinkan seperti kestabilan politik serta prospek ekonominya yang mantap, dengan unjuran pertumbuhan antara lima hingga enam peratus setahun.

Pasaran kenderaan negara yang merekodkan pertumbuhan serta perkembangan positif setiap tahun juga menjadi faktor penting Chery Alado memutuskan membina kilang pemasangan model Chery itu di sini, katanya.

Chery Alado, anak syarikat Chery Alado Holding Sdn Bhd yang dikuasai ekuitinya oleh Chery Automobile Co Ltd, Alado Corp Sdn Bhd serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mula membawa masuk kenderaan jenama China itu di pasaran tempatan sejak 2006.
Pada 2008 ia memulakan pemasangan tempatan (CKD) jenama itu bermula dengan model kenderaan pelbagai guna (MPV), Chery Eastar, diikuti dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), Tiggo pada 2009.

Pemasangan itu bagaimanapun dibuat di kilang milik pihak ketiga di Johor Bahru.

Mengenai unjuran jualan bagi tahun ini, Ng berkata, syarikat menyasar menjual sehingga 4,000 unit unit berbanding 3,300 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Katanya, unjuran jualan lebih tinggi itu dibuat berdasarkan permintaan tinggi, sehingga 300 unit sebulan untuk model Eastar, selain disokong oleh peningkatan bilangan pusat servis serta wakil pengedarnya yang kini masing-masing berjumlah 27 dan 35 di seluruh negara.

Bagi pengenalan model baru pula, katanya, Chery Alado akan melancarkan dua model baru menjelang akhir tahun ini, iaitu, kenderaan 14 penumpang dikenali sebagai Transcom dan pikap menjelang akhir tahun ini.

Sunday 24 July 2011

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang di dunia



SEPANJANG 42 kilometer (km), Jambatan Teluk Jiaozhou yang merupakan jambatan terpanjang di dunia mempunyai empat lorong dan menghubungkan dua daerah dalam Wilayah Shandong iaitu bandar pelabuhan Qingdao dan pulau pesisiran Huangdao.
Perjalanan di antara kedua-dua tempat itu sekarang 30km lebih pendek dan mengurangkan separuh masa perjalanan selama 40 minit sebelum ini. Ia menelan kos AS$2.3 bilion (RM7 bilion) dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.
Jambatan itu yang disokong oleh 5,000 batang tiang. Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, Amerika Syarikat namun jambatan China ini lebih panjang empat kilometer.
Selain tren laju, China juga terkenal dengan teknologi pembinaan jambatan. Malaysia sendiri menggunakan kepakaran dari negara itu dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar. Ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd. (CHEC) dan UEM Builders Bhd.
Kos pembinaan jambatan tersebut ialah sebanyak RM3 bilion.
Projek yang telah memulakan pembinaan pada tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada November 2013.
CHEC merupakan syarikat Fortune 500 yang diketahui terlibat dalam beberapa projek pembinaan jambatan terpanjang di dunia.
Syarikat tersebut sebelum ini diberi kepercayaan membina jambatan kabel terpanjang dunia yang menghubungkan Suzhou dan Nanpong di China.
Ia terlibat dalam 21 projek di Malaysia sejak tahun 1990-an termasuk kerja tebus guna dan perlindungan pantai di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu, Sabah dan kerja tebus guna tanah di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.

Harimau Malaya terluka




SINGAPURA – Harimau Malaya perlu bangkit di laman sendiri pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini, setelah tumpas 3-5 pada perlawanan pertama pusingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bagi zon Asia di Stadium Jalan Besar di sini, semalam.
Kepincangan pertahanan yang menyaksikan gawang negara bolos sebanyak lima kali, wajar diberi perhatian serius oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jika mereka berhajat besar mahu melangkah ke pusingan seterusnya.
Kerapuhan barisan pertahanan Malaysia yang terserlah dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini berterusan sekali gus membantu kemenangan musuh tradisi di Stadium Jalan Besar, semalam.
Itu pengakuan terbuka daripada jurulatih negara, Rajagobal tanpa berselindung mengakui barisan pertahanan telah mempamerkan aksi terburuk dalam perlawanan berkenaan yang menjadi punca utama kekalahan Malaysia.
‘‘Ini merupakan persembahan paling buruk pertahanan. Jika anda sendiri boleh perhatikan, gol yang berjaya diperoleh Singapura semuanya jaringan-jaringan yang mudah dan kelalaian barisan pertahanan kami sendiri.” Itu kata-kata jujur jurulatih negara pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
Walaupun Malaysia bermula garang dengan gol pertama pada 25 saat permainan menerusi Safee Sali, Singapura membalas dengan empat gol yang dihasilkan oleh Aleksandar Duric (minit ke-7 dan 80), Qiu Li (minit ke-21), Mustaffic Fahrudin (minit ke-44) dan Shi Jiayi (minit ke-45).
Malaysia berjaya bangkit seketika pada separuh masa kedua melalui pemain gantian, Abdul Hadi Yahaya (minit ke-69) dan Safee sekali lagi pada minit ke-70 tetapi Duric memadamkan api perjuangan Harimau Malaya dengan gol kelima, 10 minit sebelum perlawanan berakhir.
Gandingan Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Muslim Ahmad di barisan pertahanan jelas gagal mengekang rangkaian Awang Import, Aleksandar Duric, Shi Jiayi dan Qiu Li yang menjadi watak penting kepada lima gol yang berjaya dihasilkan Singapura.
Ketiadaan Mohd. Aidil Zafuan di benteng negara jelas dirasai jika dinilai kepada tahap persembahan Muslim-Fadhli yang sering kali melakukan beberapa kesilapan dan tewas kepada fizikal barisan Awang Import tuan rumah.
Bertambah malang buat pasukan negara, perlawanan kedua yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai ini mereka harus melakukannya tanpa ketua pasukan, Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah pada minit ke-49.
Mujurlah Singapura turut beraksi dengan 10 pemain apabila Ismail Yunos turut menerima kad merah selepas mendapat kad kuning kedua pada minit ke-53 yang menyebabkan perlawanan kembali seimbang.
Peluang Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya dilihat masih ada namun mereka wajib kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis depan menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Selain itu, Rajagobal berkata, kehilangan tonggak pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan dan gandingan Safee Sali di bahagian serangan, Norshahrul Idlan Talaha memberikan sedikit kesan kepada persembahan Malaysia secara keseluruhan.
‘‘Saya juga mungkin perlu memikirkan pengganti Safiq yang tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya kerana dia seorang pemain yang berpengaruh,” ujarnya.
Dia juga yakin Harimau Malaya masih ada peluang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya dengan melakukan kebangkitan di Stadium Nasional Bukit Jalil

Saturday 23 July 2011

SESB laksana projek biomas bernilai RM164.9j


KOTA KINABALU 22 Julai - Sabah bakal menerima pertambahan kapasiti janaan bekalan elektrik sebanyak 20 megawatt (MW) menerusi kerjasama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan dengan syarikat Eco Biomass Power Sdn. Bhd.
Kerjasama antara kedua-dua syarikat itu dibuat bagi melaksanakan projek pembaharuan tenaga bernilai RM164.9 juta.
Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, projek tersebut yang mampu meningkatkan kapasiti janaan elektrik di Sabah, dijangka dilaksanakan pada hujung tahun depan.
"Ini merupakan projek biomas keempat di Sabah selepas THS Power (Tawau), Seguntor Power dan Kinabio Power di Sandakan yang masing-masing mempunyai kapasiti janaan sebanyak 10 MW," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Baharin berkata, menerusi kerjasama itu, Eco Biomass Power bersetuju membekalkan bekalan elektrik yang dijana melalui sisa kelapa sawit atau sisa buangan buahan kepada SESB melalui sistem grid Sabah selama 21 tahun.
Beliau menjelaskan, tenaga yang boleh diperbaharui (RE) merupakan salah satu sumber tenaga selain minyak diesel, hidro, gas dan arang batu.
Katanya, mengikut dasar tenaga yang boleh diperbaharui, sasaran penggunaan RE ialah sebanyak lima peratus daripada kapasiti janaan negara.
"Di Sabah, SESB sebelum ini telah menandatangani lima perjanjian pembelian tenaga yang boleh diperbaharui sejak 2002 lagi dengan lima syarikat penjana bebas (IPP).
"Ketika ini, kita sedang mengadakan perbincangan dengan 10 buah syarikat untuk membangunkan stesen jana kuasa berasaskan RE seperti biomas, biogas, hidro dan geoterma," ujarnya.
Baharin berkata, setakat ini sebanyak 32MW telah disalurkan ke sistem Grid Sabah oleh tiga syarikat yang menggunakan sumber biomas dan satu syarikat menggunakan hidro.

Loji geoterma siap 2014




TAWAU 22 Julai - Pembinaan loji geoterma pertama di negara ini yang bernilai RM300 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.
Pengarah Projek itu, Ir. Andrew Amalados berkata, fasa pertama projek berkenaan di kawasan Apas di sini akan dimulakan pada Oktober ini.
"Hasil daripada penyelidikan mendapati kawasan berkenaan mempunyai potensi menjanakan kuasa tenaga elektrik dengan baik. Ia antara lain untuk membantu Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan menyalurkan kira-kira 30 Megawatt elektrik sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perundingan Pihak-Pihak Berkepentingan di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Jimmy Wong; Pemimpin Kemajuan Rakyat Apas, Naim Ahmad; Pengarah Pengurusan Integra Carbon, Azhar Anas dan Pengurus SESB Zon Selatan, Rudy Thadeus.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan 250 penduduk kampung.
Tambah Andrew, tapak projek yang dirancang adalah antara kawasan Hutan Simpan Andassy dan Taman Bukit.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek berkenaan tidak akan menyebabkan pencemaran yang membahayakan penduduk setempat dan keindahan alam semula jadi.
"Ia tidak akan memberi kesan negatif kerana loji itu hanya menghasilkan wap air tidak seperti bahan api yang lain.
"Selain itu antara kelebihan geoterma ialah ia tidak menggunakan kawasan yang luas dan mampu menjimatkan bahan api lain seperti arang batu, minyak diesel dan gas," katanya.

Wednesday 20 July 2011

Reaktor Fukushima Daiichi stabil



TOKYO: Reaktor loji janakuasa nuklear Jepun yang lumpuh akibat tsunami kini dalam keadaan stabil selepas lebih empat bulan susulan kejadian yang melanda Jepun.

Pengendali loji dan pihak kerajaan, berkata loji berkenaan ketika ini berada di landasan yang betul bagi tujuan penutupan sejuk dalam tempoh enam bulan.

Pekerja yang bertanggungjawab menstabilkan reaktor loji janakuasa Fukushima Daiichi bekerja keras dalam keadaan panas dan tertekan sejak gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, yang mana memusnahkan sistem penyejukannya. Situasi itu menyebabkan ia adalah krisis nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl.


EPL labur guna teknologi ‘Hawk-Eye’



LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) berharap penggunaan teknologi pengesan gol melepasi garisan dibenarkan untuk perlawanan bola sepak di negara itu, tahun depan.

Kini, EPL sudah melabur dalam sistem pengesanan bola ‘Hawk-Eye’ yang dibangunkan syarikat teknologi Sony; bagaimanapun, FIFA masih belum meluluskan pengenalan teknologi berkenaan.

Ia masih belum dapat diputuskan sehingga Lembaga Pengarah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa bermesyuarat pada Julai 2012, beberapa minggu sebelum musim bola sepak EPL bermula

Tuesday 19 July 2011

Toyo Tire labur RM1.2 bilion




IPOH 18 Julai - Syarikat dari Jepun, Toyo Tire & Rubber Co. Ltd (Toyo Tire) akan melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk membina kilang baharu di Perak dalam usahanya mengembangkan operasi di pasaran Asia Tenggara.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan Toyo Tyre sudah di peringkat akhir dan syarikat itu cuma menunggu kelulusan lokasi yang telah dikenal pasti dari Kerajaan Negeri Perak.
''Dua minggu lepas saya berada di ibu pejabat Toyo Tire di Osaka, Jepun untuk berjumpa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenji Nakakura dan beliau beri maklumat tentang perancangan syarikat untuk mengembangkan operasi di Perak dengan pelaburan sebanyak AS$400 juta (RM1.2 bilion).
''Toyo Tire sudah beli 100 peratus saham pembuat tayar tempatan, Silverstone Bhd. (Silverstone). Jadi, Nakakura datang ke Perak untuk berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk bincang soal tanah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nakamura yang turut disertai Zambry di sini hari ini.
Pada tahun lepas, Toyo Tire dilaporkan membeli syarikat Silverstone dengan perjanjian itu dikatakan bernilai RM470 juta.
Ia merupakan sebahagian perancangan besar Toyo Tire untuk berkembang di pasaran Asia Tenggara dengan memasuki pasaran besar yang dimiliki oleh Silverstone.
Di samping pertemuan dengan Nakakura, Mustapa hari ini mengadakan perbincangan dengan wakil syarikat Vale International SA (Vale) yang melabur sebanyak RM8.6 bilion pada fasa pertama untuk membina pusat pengedaran serantau di tanah seluas 470 hektar di Manjung.
''Saya difahamkan terdapat beberapa fasa. Vale akan membina satu pusat pengedaran serantau pada fasa pertama dan mungkin terlibat dalam bidang pembuatan. Jeti akan dibina pada bila-bila masa selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.
''Jika syarikat Vale terus bergiat dalam bidang pengilangan, pelaburan syarikat tersebut tentunya akan bertambah dan ini akan menyumbang kepada penambahan pendapatan kepada negara dan peluang kerja kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, dengan kemunculan pelabur-pelabur baru di Perak termasuk Toyo Tire menunjukkan pelaburan itu satu realiti dan bukan sekadar kenyataan retorik.
Pada sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan bahawa syarikat Maegma Steel akan mengembangkan operasinya di Perak dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat selepas syarikat tersebut menyelesaikan beberapa perkara teknikal.
Dalam siri pertemuan itu, Mustapa turut mengadakan mesyuarat meja bulat dengan 20 syarikat yang terlibat dalam perindustrian dan pengilangan di Perak.

Burung walit tawar pulangan lumayan?




KUALA TERENGGANU 18 Julai - Perusahaan burung walit dijangka menyumbang kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion daripada RM523 bilion anggaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020 ini.
Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Teknologi Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Kamaruddin Md. Isa berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sambutan yang kian meluas.
Katanya, ia menjadi tarikan kerana harga bagi satu kilogram sarang burung itu mampu mencecah RM5,000 jika dinilai berdasarkan gred, saiz dan ketulenannya.
"Jika dieksport ke negara China pula, harganya dipercayai boleh meningkat sehingga empat kali ganda kerana permintaan di sana sangat tinggi," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan dan Latihan Pengurusan Ladang Walit Antarabangsa (Icotos) di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Zolkipli Abdul; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Alias Daud serta Pengerusi Jawatankuasa yang juga Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UniSZA, Prof. Dr. Mat Zakaria.
Seminar selama tiga hari yang bermula semalam itu disertai oleh hampir 200 peserta yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha burung walit dari dalam dan luar negara.
Selain Malaysia, negara lain yang turut serta dalam program anjuran UniSZA itu ialah Indonesia dan India.
Dalam pada itu, Dr. Kamaruddin berkata, sehingga kini, belum ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa perusahaan burung walit boleh menjejaskan tahap kesihatan manusia.
"Berdasarkan kajian yang kita buat, burung walit tidak mendatangkan apa-apa masalah kesihatan kepada pengusahanya, sebaliknya memberi manfaat kepada mereka," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, perusahaan burung walit tidak sukar untuk diusahakan kerana ia banyak bergantung kepada lokasi penempatan burung berkenaan.
"Jika lokasi yang dipilih sesuai termasuk berdekatan dengan sumber makanan mereka, maka perusahaan ini tidak akan memakan masa yang panjang," jelasnya lagi

Emas lepasi paras AS$1,600 seauns



HARGA emas melonjak melepasi paras AS$1,600 seauns semalam, iaitu paras tertinggi dalam sejarah, berikutan belian berterusan pelabur yang mengalihkan pelaburan kepada logam berharga itu kerana bimbang masalah hutang semakin meruncing di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Harga komoditi itu terus mengukuh dalam sesi dagangan pagi semalam dengan melonjak ke paras AS$1,600.10 seauns di Pasaran Jongkong London selepas menyaksikan arah aliran meningkat sejak Jumaat.

Ketua Penyelidik di Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata ketidaktentuan terhadap penyelesaian masalah hutang di Eropah serta AS menyebabkan pelabur mengalih tumpuan terhadap emas kerana logam berharga itu dianggap sebagai pelaburan paling selamat ketika krisis.

Beliau berkata, harga emas dijangka meneruskan arah aliran menaik dengan potensi untuk mencecah AS$1,650 seauns dalam jangka sederhana dan AS$2,000 seauns dalam tempoh dua tahun.

“Kelemahan dolar AS dan euro berikutan kebimbangan masalah hutang yang semakin meruncing di negara ekonomi terbesar dunia dan rantau mata wang tunggal itu menyebabkan pelabur memilih untuk melabur dalam emas, sekali gus melonjakkan harganya,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau berkata, pelabur semakin bimbang dengan perkembangan terkini di AS selepas Presiden Barack Obama dan Parti Republikan terpaksa bekerja keras pada hujung minggu lalu bagi mencapai persetujuan menaikkan paras siling hutang negara itu.
Nazri berkata, kebimbangan pelabur kemungkinan krisis hutang di Eropah akan merebak ke Itali dan Sepanyol telah menyebabkan mata wang euro didagangkan lemah dan keadaan itu mendorong peningkatan permintaan untuk emas.

Kelmarin, Senat parti campuran bercadang membuktikan paras hutang AS dapat dikurangkan jika ia memperoleh hasil sebanyak AS$1.5 trilion hasil potongan perbelanjaan untuk tempoh sedekad.

Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan menjelang tarikh akhir pada 2 Ogos ini, ekonomi terbesar dunia itu mungkin berdepan isu kegagalan membayar hutangnya.

Ia adalah senario yang digambarkan Obama sebagai ‘kehancuran ekonomi’, sekali gus akan memberi kesan ketara pada peringkat global.

Krisis zon Euro juga terus berlanjutan berikutan penggubal dasar masih gagal memperoleh pelan penyelamat kedua untuk Greece.

Kenyataan terkini Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Jean-Claude Trichet bahawa ECB tidak dapat menerima kegagalan penebusan semula bon sebagai cagaran telah membimbangkan pelabur.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan harga emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, susulan permintaan kukuh pengguna dan pelabur.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Saturday 16 July 2011

Liga Arab tuntut PBB iktiraf Palestin merdeka




RAMALLAH: Liga Arab akan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengangkat taraf Palestin menjadi anggota penuh badan dunia itu.
Dalam kenyataan hasil mesyuarat badan berkenaan di Qatar, Liga Arab mahu PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negara.

Liga Arab juga mahu Palestin diberikan status anggota penuh di PBB.

Walaupun kenyataan itu tidak memberikan sebarang tempoh masa, pegawai Palestin pernah berkata, mereka mahu membuat permohonan pengiktirafan pada sidang September ini.

Delegasi Palestin berkata, Liga Arab menubuhkan jawatankuasa bagi menentukan tarikhnya.

Kemelesetan ekonomi akibat tidak bayar hutang




WASHINGTON 15 Julai - Kegagalan kerajaan-kerajaan membayar semula hutang mereka boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi, menurut dua ahli ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam satu kajian.
''Kegagalan (membayar hutang) akan menyebabkan kemelesetan yang lebih teruk,'' kata Enrique Mendoza dan Vivian Yue dalam kajian itu.
Menurut mereka, secara purata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perbelanjaan jatuh kira-kira lima peratus, lebih rendah.
Tenaga buruh juga merosot kepada 15 peratus lebih rendah berbanding tiga tahun lalu sebelum kegagalan,'' kata mereka.
Mendoza dan Yue berkata, kesimpulan yang dibuat itu pada 23 contoh keingkaran berdaulat yang berlaku antara 1997 dan 2009, kebanyakan di Latin Amerika.
Kajian itu disiarkan tepat pada masa ketika pentadbiran Presiden Barack Obama memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengalami kegagalan dalam hutang-hutang sekiranya Kongres tidak bertindak menaikkan siling hutang pada 2 Ogos.
Wall Street dan organisasi antarabangsa telah memberi amaran kegagalan (membayar hutang) oleh AS - ekonomi terbesar dunia akan memberi kesan kepada sistem kewangan global.
Kongres pula buntu, bagaimanapun Republikan menolak untuk membenarkan kenaikan siling hutang kecuali melaksanakan pengurangan ketara dalam perbelanjaan kerajaan.
Tetapi, Demokrat berkeras sebarang rundingan mesti menaikkan cukai, cadangan yang ditentang Republikan.
Di Eropah, kerajaan-kerajaan zon euro bekerja keras untuk menangani kegagalan kedaulatan oleh Greece yang berpotensi mengalami kesan ketidakstabilan di seluruh benua.

Pusat bantuan Cyber999 tingkat keselamatan siber di Malaysia



BERMULA September ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan baik pulih dan perlindungan sistem perkomputeran secara profesional di Klinik CyberSecurity yang dikendalikan oleh pusat keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia.
Perkhidmatan itu akan diuruskan sekumpulan profesional sistem perkomputeran berikutan meningkatnya jumlah aduan berkaitan jenayah siber yang diterima CyberSecurity Malaysia.

Ia akan melengkapi perkhidmatan pusat bantuan Cyber999 yang disediakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu berhubung insiden membabitkan jenayah penggunaan internet di negara ini.

Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, berkata klinik CyberSecurity yang pertama akan dibuka di Mines, Seri Kembangan dengan rancangan meluaskan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara akan dibuat secara berperingkat selepas itu.

“Kami akan mengenakan caj ke atas perkhidmatan yang diberikan, tetapi ramai masih boleh membuat aduan secara percuma menerusi pusat bantuan Cyber999.

“Ini adalah bagi membendung peningkatan ketara jenayah keselamatan siber di Malaysia sejak kebelakangan ini,” katanya pada taklimat mengenai senario keselamatan siber negara untuk separuh pertama 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Husin berkata, berdasarkan data yang dikumpul CyberSecurity Malaysia, pihaknya menerima 7,404 aduan berhubung jenayah siber untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 147 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, daripada analisis, arah aliran insiden yang dilaporkan sepanjang tahun ini dilihat hampir menyamai arah aliran tahun lalu dari segi kategori.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, semua kategori membabitkan insiden keselamatan sekuriti mencatatkan peningkatan ketara, dengan kes membabitkan penipuan internet mendahului senarai diikuti kes membabitkan ‘spam’, pencerobohan maklumat dan lain-lain,” katanya.

Berdasarkan perangkaan CyberSecurity Malaysia, 2,820 kes jenayah membabitkan penipuan internet diterima setakat tahun ini, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 870 kes yang diterima sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kes ‘phishing’ berkaitan penipuan perbankan internet adalah yang paling tinggi dengan 1,708 aduan diikuti penipuan pekerjaan sebanyak 362 kes, 92 kes pemalsuan maklumat dan 79 kes lagi membabitkan ‘Nigerian Scam’.

Husin berkata, peningkatan jumlah jenayah keselamatan siber itu berkait rapat dengan pertambahan penggunaan internet di Malaysia sekali gus mendedahkan pengguna kepada pelbagai ancaman siber.

“Ini tidak bermakna kita perlu menolak perkembangan teknologi kerana bagi negara sedang membangun, rakyat perlu menggunakannya. Justeru, usaha perlu giat dilakukan untuk meningkatkan kesedaran sekuriti siber di kalangan pengguna internet di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Husin berkata CyberSecurity Malaysia telah membangunkan perisian ‘DontPhishMe’ yang bermatlamat menyediakan perlindungan kepada pengguna perkhidmatan perbankan internet di negara ini.

Katanya, perisian itu telah menerima maklum balas baik dari peserta industri dan pengguna di mana versi terkininya, DontPhishMe 1.6.0 boleh dimuat turun secara percuma oleh orang ramai.

CUEPACS mohon kerajaan pertimbang bonus dua bulan




KUANTAN 15 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.
"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.
"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan hanya dapat bantuan khas RM500,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-24 ANULAE cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

Friday 15 July 2011

Aplikasi bantu cari arah kiblat



SATU inovasi baru dalam dunia digital termasuk Islamic Compass - Qibla Finder and Global Prayer Times iaitu aplikasi yang menampil�kan kemudahan untuk umat Islam mencari arah kiblat dan masa solat paling tepat untuk kegunaan harian.
Kebiasaannya, jika anda mengembara di luar kawasan yang biasa ditambah pula negara luar mungkin tidak mengetahui kaedah sebenar mencari kiblat atau mengetahui waktu solat. 
Pengguna akan membawa peranti tradisional iaitu kompas solat untuk mengetahui arah kiblat tapi terlupa mencatat waktu solat di kawasan berkenaan seperti Eropah misalnya yang berlainan waktu seperti Malaysia.

Oleh itu, aplikasi ini sesuai untuk dipindah turun memandangkan kegunaannya yang lengkap jika anda pengguna telefon iPhone dengan iOS 4.

Pengiraan waktu solatnya menggunakan penetapan GPS dan tidak memerlukan anda memasang data pada telefon pintar, malah ia akan dilakukan secara automatik selepas anda tiba di sesuatu kawasan tapi perlu membuka GPS terlebih dulu dan ia menyokong waktu solat di kebanyakan negara.

Malah, waktu solat juga boleh didapati lebih awal sebelum anda ke luar negara.

Aplikasi yang boleh dipindah turun secara percuma ini mempunyai antaramuka unik menepati fungsinya sebagai pemberi maklumat kepada umat Islam dengan kawalan skrol mudah ketika menggunakannya.

Selain itu, aplikasi ini mempunyai 12 jenis azan yang boleh dimainkan sebaik masuk waktunya tetapi ia turut boleh dimainkan walaupun bukan pada masanya.

MyDeal popular




GENAP setahun ditubuhkan, syarikat pembelian berkumpulan dalam talian (group buying online), MyDEAL Sdn Bhd (MyDeal) muncul sebagai laman web yang paling kerap dilawati di Malaysia, sekali gus masih mengekalkan gelaran syarikat yang menjalankan perniagaan online nombor satu negara.
Menurut laman web kaji selidik Alexa.com, syarikat ini turut tersenarai dalam 60 laman web paling popular di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDeal, Jan Croeni berkata, melihat kepada kejayaan yang dicapai dalam masa setahun itu, syarikatnya akan maju setapak lagi dengan melancarkan empat portal perniagaannya khusus buat pengguna di Kota Kinabalu, Kuching, Melaka dan Ipoh.

“MyDeal yang baru diperkenalkan pada Jun tahun lalu telah beroperasi di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, kini mempunyai sehingga 500,000 pelanggan dalam pangkalan data penggunaannya,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya, di Kuala Lumpur, semalam.


Menurut Jan, MyDeal yang menawarkan barangan berjenama pada harga lebih murah dalam talian kini mampu mencatat pulangan hampir RM2 juta sebulan dan akan terus melebarkan sayapnya ke seluruh negara dan juga Brunei menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, Jan turut menyatakan hasrat syarikatnya untuk bekerjasama dengan syarikat laman web antarabangsa Yahoo.com memandangkan kini MyDeal telah mencapai lebih 300,000 prospek pengguna sehari melalui pengiklanan online seperti facebook dan google.

Thursday 14 July 2011

Jana elektrik RM1b tenaga solar




KUALA LUMPUR 13 Julai - Berjaya Corp. Bhd. (BCorp) merancang membina sebuah stesen jana kuasa elektrik berasaskan tenaga solar bernilai RM1 bilion di Bukit Tagar, Rawang, Selangor.
Kertas kerja pembinaan stesen yang pertama di Malaysia mampu menghasilkan 100 megawat tenaga elektrik, telah dihantar kepada kerajaan untuk mendapat kelulusan.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, pembinaan stesen jana kuasa itu merupakan salah satu inisiatif BCorp untuk menceburi perniagaan baharu terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, projek masa depan itu perlu mendapat sokongan kerajaan terutamanya dalam mengkaji semula tarif kadar tetap elektrik yang dijana bagi memberi pulangan yang baik.
''Kadar tarif sekarang sangat rendah dan tidak menggalakkan pertumbuhan industri ini. BCorp boleh membangunkan stesen berkenaan bersendirian tetapi sokongan kerajaan dalam aspek tarif amat diperlukan.
''Semakan semula tarif mampu membantu industri ini berkembang dan mengurangkan kos alatan seperti panel sistem solar dan sebagainya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BCorp dengan POSCO Engineering & Construction Co. Ltd. (POSCO E&C), di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif POSCO E&C, Chung Dong-Hwa, Duta Korea Selatan, Lee Yong-joon dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Land Bhd., Francis Ng Sooi Lin.
Mengulas mengenai MoU tersebut, Tan berkata, BCorp merancang untuk meluaskan perniagaan pembinaan dan pembangunan di luara negara dan POSCO E&C yang merupakan syarikat pembinaan kelima terbesar di Korea Selatan dilihat mampu memberi tunjuk ajar yang baik.
''Tujuan MoU ini adalah memberi ruang kepada BCorp untuk mempelajari industri pembinaan, pembangunan hartanah dan juga tenaga boleh diperbaharui.
''Perjanjian ini adalah kerjasama awal antara kedua-dua syarikat dan belum mempunyai perancangan mengenai projek baharu secara bersama.
''Sebelum ini kami telah mengadakan kerjasama dengan POSCO E&C bagi membangunkan sebuah pusat peranginan dan komersial projek iaitu Berjaya Jeju Resort di Korea Selatan. Mereka merupakan kontraktor utama dan bakal memiliki pegangan dalam projek berkenaan,'' jelasnya.
Sementara itu, Dong-Hwa berkata, fasa satu projek Berjaya Jeju Resort yang melibatkan pembinaan infrastruktur awal bernilai AS$30 juta (RM90.8 juta) dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
''Projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak AS$2.9 bilion (RM8.77 bilion) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi,'' katanya.
Ditanya tentang perancangan POSCO E&C di Malaysia, Dong-Hwa berkata, syarikatnya telah menghantar bidaan bagi projek memanjangkan laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Aliran Ampang.
''Kami turut berminat menyertai projek My Rapid Transit (MRT) dan akan menghantar bidaan kepada kerajaan,'' kata beliau.

UniFi TM diperluas ke seluruh negara



PEMBANGUNAN perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Bhd (TM) atau UniFi berjalan lancar dan kini sedang diperluas secara berperingkat ke sembilan lagi kawasan baru menjelang akhir tahun ini daripada 69 kawasan di seluruh negara sekarang.
Dengan perluasan ke kawasan baru itu, ia akan menjadikan keseluruhan premis yang diliputi perkhidmatan UniFi TM itu kepada kira-kira 1.1 juta daripada 110,000 premis sekarang.
TM sebelum ini dilaporkan menyasar memenuhi sasaran liputan 1.3 juta premis menjelang akhir tahun depan menerusi fasa pertama projek HSBB yang membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM11.3 bilion itu.

Naib Presiden Jualan TM Bahagian Selangor, Datuk Zaini Maatan, berkata sejajar dengan perluasan capaian UniFi secara berperingkat ke seluruh negara, TM kini lebih agresif mengadakan rundingan dengan pemaju utama kawasan perbandaran, selain melaksanakan kempen pemasaran bagi mendidik pengguna dan menarik pelanggan baru.

“Beberapa rundingan untuk mengembangkan perkhidmatan UniFi dilakukan yang kami jangkakan dalam tempoh terdekat ini lima lagi kawasan perbandaran baru dapat dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian bagi pelaksanaan infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan HSBB antara TM dengan TTDI Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza TTDI di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Zaini mewakili TM, manakala TTDI Land diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.
Ia disaksikan Pengurus Besar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Mohamad Yusman Ammeran; dan Pengurus Besar, Perancangan dan Pembangunan Produk Naza TTDI, Zaidi Baharudin.

Lima kawasan baru yang akan menerima perkhidmatan UniFi dalam tempoh terdekat ini adalah di Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan perbandaran lain di sekitar Lembah Klang,

Daripada 69 kawasan yang diliputi perkhidmatan menerusi inisiatif HSBB yang dilancarkan secara komersial pada Julai tahun lalu itu, 60 adalah di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang, satu di Kedah dan Negeri Sembilan, serta empat di Johor.

Terdahulu, pada sidang media yang sama, Zaini berkata, menerusi perjanjian dengan Naza TTDI itu, TM akan menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada projek Bandar TTDI Alam Impian, sekali gus menjadikan bandar yang terletak di Seksyen 35 Shah Alam itu sebagai bandar UniFi pertama di Zon Tengah (kawasan perbandaran di Selangor dan Cyberjaya).

Projek di kawasan yang memiliki 1,450 unit kediaman pelbagai jenis seperti banglo, rumah berkembar, rumah teres super, town house, apartmen dan unit komersial itu, dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang 2016.

UniFi yang ditawarkan di kawasan itu merangkumi tiga komponen iaitu internet berkelajuan tinggi, video (televisyen protokol internet atau IPTV) dan suara dengan kelajuan dari lima megabit sesaat (Mbps) hingga 20Mbps menerusi penggunaan teknologi infrastruktur rangkaian gentian ke rumah (FTTH).

Wednesday 13 July 2011

REDTone ganda hasil jalur lebar






PENYEDIA perkhidmatan jalur lebar pejabat, REDtone International Bhd (REDTone) menyasarkan peningkatan hasil 100 peratus menerusi segmen jalur lebarnya bagi tahun kewangan 2012 berikutan langganan yang teguh.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lau Bik Soon berkata, pihaknya menjangkakan segmen pengusaha kecil dan sederhana (PKS) akan membantu REDTone menggandakan hasil jalur lebarnya.

“Pasaran PKS masih belum menerima perkhidmatan jalur lebar dan akses data secara meluas dan pada masa ini kami melakukan segala yang termampu untuk menyediakan perkhidmatan kepada mereka.

“Kami berikhtiar memaksimumkan penggunaan yang kami miliki dan berharap supaya pihak berkuasa mengeluarkan lesen spektrum 4G LTE (evolusi panjang) kepada REDTone tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur

Tuesday 12 July 2011

Gempa bumi lemah gegar Kinabatangan



KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.7 magnitud menggegarkan Kinabatangan, Sabah pada jam 10.28 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu adalah 16 kilometer tenggara Kinabatangan.

Berikutan itu, gegaran mungkin dirasai di sekitar kawasan itu

Monday 11 July 2011

Rakyat diminta tidak bazirkan ubat hospital kerajaan




KUALA LUMPUR 11 Julai — Rakyat harus bijak menggunakan ubat-ubatan yang diberi hospital kerajaan khususnya, kerana ia bukan saja berkualiti tetapi juga dibeli dengan peruntukan yang besar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, tahun lepas, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.6 bilion untuk membeli ubat.
"Dalam pembelian ubat, kerajaan mencari nilai dan kualiti terbaik, justeru orang ramai juga perlu diberikan kesedaran tentang ubat yang diambil mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Antara Rantau Fasa Ketiga berkenaan Urus Tadbir yang Baik untuk Ubat-ubatan, di sini hari ini.
Untuk itu katanya, kerajaan sentiasa memastikan orang ramai mendapat maklumat mengenai harga dan sumber ubat yang diberi kepada mereka.
Mengulas mengenai program memulangkan ubat yang tidak digunakan, Dr. Hasan berkata, pada masa ini program tersebut menerima sambutan menggalakkan.
"Jika dipulangkan, kita akan dapat melupuskan ubat-ubat itu mengikut prosedur yang betul dan juga dapat membuat kajian berkenaan faktor ubat tersebut tidak digunakan.
"Selain itu, jika ubat itu masih berada dalam keadaan baik dan belum dibuka ia akan digunakan semula sekali gus dapat menjimatkan kos kerajaan,” katanya.
Mesyuarat lima hari sehingga Jumaat itu yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia disertai 12 negara bagi membincangkan sistem pentadbiran dan pengurusan ubat-ubatan.

Sime Darby sasar produk super luxury


CHENGDU, China 10 Julai - Kumpulan Sime Darby merancang mengukuhkan kehadirannya di rantau China dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan menumpukan kepada pengedaran kereta-kereta mewah dan terlalu mewah (super luxury) melalui 32 jenama antarabangsa kendaliannya.
Antara jenama kereta mewah dan terlalu mewah yang berada di bawah Sime Darby Motors ketika ini ialah BMW, MINI, Rolls-Royce, Land Rover, Lamborghini, Jaguar dan McLaren.
Sime Darby Motor merupakan pengedar dan penjual eksklusif bagi kereta Mclaren di Hong Kong.
Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Datuk Lawrence Lee berharap pasaran di rantau China seperti China, Hong Kong dan Macau dapat menyumbang sekurang-kurangnya 30 peratus keuntungan kepada Sime Darby Motors untuk beberapa tahun akan datang.
Contohnya, kata beliau, Sime Darby Motors di China tahun lalu berjaya menjual 170,000 buah kereta BMW pelbagai model berbanding jumlah keseluruhan pasaran kereta mewah yang direkodkan sebanyak 700,000.
“Sebenarnya pasaran kereta mewah dan terlalu mewah di China khususnya serta Macau dan Hong Kong amat besar dan berpotensi berkembang, oleh sebab itu kami merancang untuk mengukuhkan kehadiran kami melalui jenama-jenama mewah antarabangsa,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, dengan pembukaan rasmi bilik pameran BMW terkini di sini baru-baru ini, pembukaan sebuah lagi bilik pameran di Chongqing akan dilakukan dalam tempoh 18 bulan akan datang melibatkan pelaburan RMB120 juta (RM60 juta).
Mengulas lanjut katanya, model BMW 5 Series merupakan model paling laris dengan jualan sebanyak 3,100 buah di China pada sepanjang tahun lalu.
Manakala bagi pasaran Hong Kong pula, sebanyak 4,308 buah kereta BMW telah terjual sepanjang tahun lalu berbanding 2,823 buah yang terjual pada tahun 2009 dan merupakan jenama peneraju di negara tersebut.
Bagi pasaran Macau pula, Sime Darby telah berjaya menjual 604 buah kereta BMW dan MINI pada tahun 2010, peningkatan 73 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan peneraju jualan bagi model 1 Series, 3 Series, Series X dan Z4 Series.
“Kami melihat peluang untuk berkembang di China dan negara-negara berdekatan amat berpotensi untuk diterokai dan merupakan kesempatan yang tidak boleh dilepaskan” katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...